Romelu Lukaku berkemungkinan terlepas perlawanan di antara Inter Milan dan Real Madrid dalam Liga Juara-Juara Eropah selepas mengalami kecederaan pinggul.

Penyerang Nerazzurri itu menjalani ujian imbasan magnetic resonance imaging (MRI) selepas mengalami kesakitan ketika terikat tanpa jaringan dengan Skahtar Donetsk, Rabu lalu.

Inter mengesahkan pemain kebangsaan Belgium itu mengalami kecederaan otot di pinggul kirinya dan keadaannya akan dipantau setiap hari.

Lukaku dijangka akan terlepas perlawanan Serie A menentang Parma hujung minggu ini dan dilaporkan berkemungkinan turut terlepas kunjungan ke Santiago Bernabeu, Rabu depan.

Berita terbaru itu memberikan tamparan buat ketua jurulatih, Antonio Conte, yang pasukannya seri dalam kedua-dua perlawanan pertama Kumpulan B menentang Borussia Monchengladbach dan Shakhtar.

Lukaku telah menjaringkan sembilan gol dalam 11 penampilannya dalam kesemua kejohanan musim ini.