CHELSEA 3 ASTON VILLA 0

Romelu Lukaku akhirnya menjaringkan gol di Stamford Bridge sambil berkata impian zaman kanak-kanaknya sudah terpenuhi sebaik meledakkan dua jaringan yang membenam Aston Villa dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi.

Chelsea meraih kemenangan 3-0 ke atas Villa, yang mempamerkan aksi terbaik mereka sepanjang babak pertama, di mana pengurus The Blues, Thomas Tuchel, mengakui gusar terhadap ancaman yang diterima pasukannya sepanjang tempoh itu.

Bagaimanapun, Lukaku menjadi pemain paling menyerlah menerusi penyudah kemasnya sewaktu menjaringkan gol pembukaan dan melengkapkan jaringan kedua peribadinya dalam waktu kecederaan babak kedua.

Jaringan itu hadir menerusi dua percubaannya sepanjang perlawanan itu untuk Chelsea melengkapkan kemenangan ke-600 dalam EPL -- sebelum ini, hanya Manchester United pernah mencecah jumlah kemenangan seperti itu sepanjang sejarah kejohanan berkenaan.

Satu lagi jaringan Chelsea disumbangkan oleh Matteo Kovacic, yang menyudahkan hantaran ke belakang Tyrone Mings dalam babak kedua.

Ia merupakan perlawanan ke-15 Lukaku di Stamford Bridge sepanjang mewakili Chelsea, Everton dan Manchester United, di mana ia juga merupakan kali pertama dia berhasil menemui sasaran di venue itu.

"Saya sudah lama menantikannya. Ia impian saya sejak berusia 11 tahun. Saya berusaha keras untuk momen ini," kata Lukaku.

"Ia impian zaman kanak-kanak. Saya amat gembira untuk berada dalam situasi ini tetapi usahanya perlu diteruskan."