Romelu Lukaku berasa "gembira dan bersyukur" selepas melengkapkan kepulangannya ke Chelsea, sebuah kelab yang sentiasa dekat di hatinya.

Lukaku membantu Inter memenangi gelaran Serie A pertama dalam tempoh lebih sedekad musim lalu dengan menghasilkan 30 gol dan 11 jaringan dalam kesemua kejohanan buat skuad kendalian Antonio Conte itu.

Conte pada satu ketika pernah berhasrat untuk membawa pulang penyerang itu ke Chelsea -- yang menjual Lukaku ke Everton pada 2014 -- ketika mengemudi pasukan itu tetapi pemain kebangsaan Belgium berkenaan memilih untuk menyertai Manchester United.

Pada usia 28 tahun, Lukaku kini sah kembali ke Stamford Bridge dengan perpindahan yang dilaporkan bernilai £97.5 juta (RM570.41 juta) -- rekod termahal kelab itu dan kedua termahal di Britain selepas pembelian Jack Grealish daripada Aston Villa kepada Manchester City.



"Saya gembira dan bersyukur untuk kembali ke kelab yang indah ini," kata Lukaku, yang pernah menyertai Chelsea daripada Anderlecht pada 2011, dalam laman web rasmi pasukan itu.

"Ia merupakan perjalanan yang panjang. Saya hadir ke sini sewaktu remaja yang perlu belajar banyak perkara dan kini dapat kembali ke sini untuk mencuba dan membantu memenangi lebih gelaran memberikan saya perasaan yang luar biasa.

"Cara yang telah digunakan kelab ini amat sempurna dengan cita-cita saya pada usia 28 tahun dan selepas baru sahaja memenangi Serie A. Saya fikir peluang ini hadir tepat pada masanya dan harap-harap kita akan memperoleh lebih banyak kejayaan bersama-sama.

"Sejak saya meninggalkan Chelsea, ia merupakan perjalanan yang panjang dengan penuh turun naik tetapi pengalaman ini membuatkan saya kuat dan cabarannya kini adalah untuk membantu pasukan memenangi beberapa trofi.

"Saya tidak sabar untuk memulakannya dan membantu kelab ini mencapai lebih banyak kejayaan," katanya.

Skuad kendalian Thomas Tuchel itu akan memulakan musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menentang Crystal Palace malam esok.