Bekas pertahanan Manchester United, Rafael, percaya Romelu Lukaku berpotensi menjadi pemain luar biasa untuk skuad Jose Mourinho.

United memeterai perjanjian bernilai £75 juta (RM424 juta) untuk Lukaku pada 10 Julai lalu dan pemain berusia 24 tahun itu menikmati pra-musim yang memberangsangkan, dengan menjaringkan gol menentang Real Salt Lake, Manchester City dan Valerenga.

Rafael, yang memenangi tiga gelaran Liga Perdana dalam tempoh tujuh tahun di Old Trafford, mengimbau hatrik yang dilakukan Lukaku untuk West Brom ketika seri 5-5 dengan United pada 2013 dalam perlawanan terakhir Alex Ferguson mengendalikan kelab itu.

Pemain pertahanan Lyon berusia 27 tahun itu berpendapat Lukaku akan menjadi "pembelian yang berbaloi" untuk kelab lamanya jika dia dapat membina persembahan yang telah ditunjukkannya dalam liga utama England itu.

"Saya melihat Lukaku bermain di Everton dan juga di Chelsea," katanya kepada Omnisport. "Saya juga melihatnya ketika kami menjadi juara, dan dia berada di West Brom, (di mana) ia mungkin masa terbaik saya di United.

"Bagi saya, dia pemain yang bagus pada usianya, dia boleh berkembang, tetapi jika dia kekal dengan apa yang dilakukannya tahun lalu, dua atau tiga tahun lalu, dia akan menjadi pembelian berbaloi."

Rafael melihat rakan sepasukan Lyon, Alexandre Lacazette, berhijrah dari Ligue 1 ke Liga Perdana pada bulan ini dengan pemain antarabangsa Perancis itu diikat Arsenal dengan yuran €53 juta (RM268 juta).

Bekas pemain Gunners, Robert Pires, berkata Lacazette memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak Inggeris tetapi Rafael menjangka proses itu tidak mengambil masa yang lama.

"Saya kagum dan masih mengagumi bola sepaknya," kata pemain Brazil itu. "Dia pemain yang sangat pintar, dia tahu bagaimana untuk menjaringkan gol, dia cepat, dan itu semua diperlukan penyerang, saya rasa dia akan melakukannya dengan baik di Arsenal.

"Saya rasa begitu (dia perlu menyesuaikan diri) dan saya fikir ia tidak akan mengambil masa yang lama. Pada perlawanan awal, dia mungkin berhempas-pulas sedikit tetapi ia akan menjadi cepat."