Luis Enrique menganggap persembahan buruk Barcelona di Turin sebagai punca pasukannya tersingkir di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara selepas tewas 3-0 secara agregat kepada Juventus.

Rekod 15 kemenangan berturut-turut Enrique di Nou Camp di pentas Eropah berakhir selepas Barca gagal menembusi kekentalan pertahanan Juve yang mengekalkan rekod tanpa bolos buat kali kelima berturut-turut dalam saingan Liga Juara-Juara.

Enrique berasakan pasukannya tidak cukup bagus untuk memenangi perlawanan awal pagi tadi sambil menyatakan untuk mengulangi kebangkitan luar biasa seperti ketika bertemu Paris Saint-Germain (PSG) adalah sukar.

"Saya tidak dapat merumuskan kempen Liga Juara-Juara kami dalam satu perkataan," ujar Enrique kepada BeIn Sport.

"Pertemuan pertama yang buruk di Turin telah menyebabkan kami tersingkir. Saya akan sentiasa mengingati detik-detik aksi di Turin.

"Kedua-dua pasukan telah menampilkan corak menyerang, namun Juve tidak hanya berkubu di kawasan mereka. Saya tetap mempertahankan sikap pemain dan peminat saya. Keputusan paling adil adalah mencapai kemenangan."

Perhatian Barca kini beralih kepada pertembungan El Clasico menentang Real Madrid (awal pagi Isnin depan) kerana perebutan gelaran LaLiga memasuki peringkat akhir, dengan skuad kendalian Enrique dipisahkan tiga mata dengan pendahulu itu yang turut mempunyai kelebihan baki satu perlawanan.

"Kami mempunyai pilihan untuk merebut kejuaraan liga secara langsung dengan pasukan di tangga pertama," katanya.

"Bagaimanapun, saya senang berada di kelab yang bercita-cita tinggi seperti ini. Kami sentiasa membuktikan kredibiliti kami sebagai pasukan pilihan. Ia adalah satu malam yang boleh dibanggakan."

Enrique melahirkan sokongan terhadap Juventus untuk memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 1996, dengan Real Madrid, Monaco dan Atletico Madrid sedia menanti mereka di peringkat separuh akhir.

"Ia satu perlawanan yang bagus di antara dua pasukan besar. Saya tabik Juventus," ujarnya kepada Mediaset Premium.

"Bolehkah mereka mencapai perlawanan akhir? Mereka mempunyai jurulatih yang hebat, pemain yang hebat dan mempunyai segala-galanya yang diperlukan untuk memenangi Liga Juara-Juara."