Lucas Moura mengakui Tottenham Hotspur memiliki peluang yang cukup untuk mengelak kekalahan di pentas final Liga Juara-Juara Eropah tetapi menyatakan rasa bangga di atas pencapaian mereka di Eropah musim ini.

Pemain Brazil itu masuk dalam babak kedua dalam aksi di mana Spurs tewas 2-0 di Madrid hasil jaringan penalti pada minit kedua oleh Mohamed Salah serta gol daripada Divock Origi yang mengesahkan kemenangan Liverpool.

Dia gagal menewaskan penjaga gol The Reds, Alisson, apabila meraih peluang sambil Dele Alli dan Son Heung-Min turut melepaskan kesempatan tatkala Spurs gagal mempamerkan keyakinan di depan gawang seperti yang menyaksikan mereka mengejutkan Manchester City dan Ajax dalam pusingan sebelum ini.

Ditanya sama ada pasukan yang menang adalah lebih baik, dia berkata: "Saya tidak rasa wujud persoalan siapa yang lebih bagus.

"Mereka dapat menggunakan peluang yang diraih. Ia adalah final. Kami mendapat peluang tetapi tidak menyumbat gol.

"Ia sukar. Saya sangat sedih tetapi berbangga dengan pasukan serta musim yang kami lalui.

"Kami harus mendongak dan meneruskan kemaraan."

Seperti Lucas, Fernando Llorente turut bergelut untuk membantu Spurs selepas dimasukkan dalam babak kedua.

Penyerang itu berkata dia yakin Spurs dapat kembali mencabar kejuaraan utama dalam jangka masa pendek sambil menegaskan mereka tidak beraksi di tahap terbaik ketika berdepan Liverpool.

Llorente berkata: "Ia adalah hari yang sukar. Saya rasa kami melepaskan peluang unik tetapi gagal mengubah perlawanan selepas jaringan pertama lawan.

"Ia sukar untuk diterima. Menyedihkan kerana saya percaya pasukan ini tetapi kami gagal memberikan yang terbaik dalam perlawanan itu."

"Ia adalah kelab yang hebat dan saya yakin Spurs akan kembali beraksi dalam final seperti ini tidak lama lagi."