Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohamed Harrif Salleh, kecewa apabila menjadi mangsa "taktik kotor" pelumba pasukan lain selepas hanya dapat menempatkan diri di kedudukan ketujuh peringkat ketiga saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 hari ini.

Peringkat ketiga yang melibatkan laluan dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu amat dinantikan oleh Harrif dan pasukan TSG sendiri kerana ini peluang terbaik buat mereka memburu kedudukan podium.

Misi itu digalas sebaik mungkin oleh Harrif dan abangnya, Zamri Salleh, tetapi strategi mereka disekat oleh beberapa pelumba, khususnya daripada pasukan Giant Cycling Team.

Harrif berkata terdapat sentuhan fizikal yang agresif terhadap dirinya dan situasi itu adalah kali kedua dialaminya dalam saingan kali ini.

"Mula-mula ia berlaku pada tiga kilometer terakhir, pelumba dari China itu saya lihat membaling botol air ke arah abang saya, membuatkan saya berhati-hati.

"Pada 1km terakhir, dia datang lagi dan cuba untuk menyekat saya, membuatkan saya terpaksa menolaknya. Kalau saya tidak tolak, saya tidak akan dapat melakukan pecutan," ujarnya.

"Sejak peringkat pertama, dia telah banyak kali cuba melakukan halangan kepada saya tanpa saya ketahui sebabnya."

Sementara itu, pengarah perlumbaan, Jamaluddin Mahmood, menyarankan kepada Harrif serta TSG membuat aduan rasmi kepada komisar perlumbaan berhubung insiden tersebut.

Seandainya wujud bukti berlakunya salah laku oleh pelumba berkenaan, maka tindakan tegas boleh diambil, antaranya tidak dibenarkan untuk meneruskan perlumbaan.

"Sebaiknya, dia jangan membalas apa sahaja yang dilakukan kepadanya kerana peraturan telah ditetapkan kerana jika ia melibatkan aksi pukul-memukul, setiap pelumba itu boleh dikenakan penalti," kata Jamaluddin.