Ketua jurulatih Jerman, Joachim Low, percaya dua pemainnya, Julian Draxler dan Joshua Kimmich, boleh meningkatkan kebolehan mereka ke satu tahap lebih tinggi apabila beraksi dalam saingan Piala Konfederasi 2017.

Jerman bakal menghadapi cabaran Australia dalam perlawanan pertama mereka dan Low melihat kehadiran Draxler dan Kimmich mampu menghadirkan persaingan sihat dalam skuad yang dipilih.

Nama-nama besar seperti Manuel Neuer, Jerome Boateng, Mesut Ozil, Toni Kroos dan Thomas Muller masing-masing direhatkan dan Low mengambil peluang untuk mengenal pasti generasi baru yang mungkin boleh digunakan dalam saingan Piala Dunia tahun depan.

“Pemain seperti Draxler dan Kimmich masih boleh meningkat.

“Mereka masih belum mencapai kelas dunia tetapi mereka akan meraihnya satu hari nanti,” kata Low.

Draxler adalah satu daripada tiga pemain yang menganggotai skuad Jerman ketika menjuarai Piala Dunia 2014 bersama-sama Matthias Ginter dan Shkodran Mustafi.