Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) mengesahkan Joachim Low akan kekal sebagai ketua jurulatih Jerman di sebalik penyingkiran mereka di peringkat kumpulan Piala Dunia 2018.

Spekulasi mengenai masa depan Low bertiup kencang selepas juara dunia itu menghuni tangga tercorot Kumpulan F dan gagal ke pusingan kalah mati buat kali pertama sejak 1938.

Di sebalik kekecewaan berkenaan, pengendali berusia 58 tahun itu mengakui "peluang yang besar" buat dirinya membuat pengumuman ini dan berharap untuk memperbaiki persembahan buruk Jerman di Russia.

Low -- yang mengemudi Jerman ke separuh akhir Piala Dunia 2010 sebelum bergelar juara dunia empat tahun kemudian di samping mara ke separuh akhir Euro sebanyak tiga kali berturut-turut -- menandatangani kontrak baru untuk kekal sebagai pengendali hingga 2022.

Bersama dengan pengurus pasukan, Oliver Bierhoff, Low bertemu presiden DFB, Reinhard Grindel, di Frankfurt untuk membincangkan kekecewaan pasukan di Russia dan membuat pengesahan untuk kekal bersama Jerman.

"Saya sangat gembira dengan keyakinan yang diberikan kepada saya oleh DFB," kata Low.

"Ia adalah penting bagi saya kerana apa yang telah dilalui sejak beberapa hari yang lalu untuk bertemu dengan Grindel. Tetapi kini saya mahu membentuk semula pasukan ini.

"Saya akan membuat penilaian, berbincang dan mencari jalan penyelesaian terbaik. Ia memerlukan masa dan kami perlu melakukannya segera sebelum musim bermula pada September."

Kapten Jerman, Manuel Neuer, yang dikritik selepas persembahannya berdepan Korea Selatan, berkata: "Saya sangat gembira kerana kami dapat terus bekerjasama dengan Low. Saya meletakkan keyakinan bahawa Jerman akan kembali berada di tahap terbaik."