John Arne Riise menyelar pertahanan Liverpool, Dejan Lovren kerana "melakukan terlalu banyak kesilapan" dan memerlukan persaingan yang sengit di dalam pasukan.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp itu menempah slot dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) apabila meraih kemenangan 4-2 ke atas Hoffenheim dengan memastikan kemenangan 6-3 secara agregat.

Lovren turun dalam kesebelasan utama bersama Joel Matip di bahagian tengah pertahanan dan melakukan kesilapan yang mudah bagi memberikan gol pembukaan buat pasukan dari Jerman itu manakala tewas ketika pertembungan di udara untuk jaringan kedua pasukan pelawat.

Riise yang beraksi di Anfield selama tujuh musim dan menjuarai UCL bersama The Reds, mempersoalkan pemain kebangsaan Croatia itu.

"Sudah pasti kami memerlukan pertahanan tengah yang lebih baik daripada Lovren. Terlalu banyak kesilapan yang dilakukannya," kata Riise.

"Bagaimana dia mahu membuktikan dirinya antara yang terbaik di England jika terus mempamerkan aksi sebegini?

"Saya berasakan Lovren memerlukan lebih banyak persaingan dan tekanan untuk beraksi dengan baik. Lihat kepada Alberto Moreno, permainannya sudah semakin meningkat."

Liverpool telah dikaitkan dengan pertahanan Southampton, Virgil van Dijk, sebelum musim ini bermula tetapi dilihat bakal terlepas untuk mendapatkan khidmat pemain itu.