WOLVES 2 LIVERPOOL 1

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, mengesahkan Dejan Lovren, mengalami kecederaan hamstring ketika tewas 2-1 kepada Wolves dalam pusingan ketiga Piala FA, awal pagi tadi.


Lovren merupakan salah seorang daripada dua pemain yang dikekalkan dalam kesebelasan utama skuad kendalian Klopp itu selepas mereka tewas kepada Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris, namun terpaksa meninggalkan padang pada awal permainan di Stadium Molineux.

Ia menyaksikan pertahanan berusia 16 tahun, Ki-Jana Hoever, diperkenalkan -- pemain termuda Liverpool beraksi dalam saingan Piala FA.

Hoever bergandingan dengan pemain tengah, Fabinho, selaku jentera pertahanan, namun gagal menyerap asakan lawan hingga membenarkan Raul Jimenez dan Ruben Neves menghadiahkan kemenangan buat Wolves.

Bercakap dalam sidang media pasca-perlawanan, Klopp menolak sebarang cadangan bahawa beliau tidak menurunkan barisan terbaik, sekali gus tidak menghormati saingan Piala FA.

"Lovren mengalami kecederaan hamstring. Sebelum perlawanan, staf kejurulatihan memberikan lampu hijau kepada Lovren untuk beraksi dan kecederaan ini hadir tanpa diduga.

"Saya tidak pasti apa yang anda mahu katakan sejurus saya menurunkan Ki-Jana dan Fabinho selaku pertahanan kami; ada yang mengatakan saya tidak menghormati kejohanan ini.

"Kami telah melakukan apa yang termampu, ia bukan satu langkah yang tepat menurunkan pemain berusia 16 tahun dalam kesebelasan utama. Ki-jana telah bermain dengan baik dalam perlawanan ini," katanya.

Klopp turut menjelaskan bahawa beliau tidak pasti berapa lama yang diperlukan Lovren untuk kembali pulih ketika pasukan mengalami krisis kecederaan dengan Joe Gomez dan Joel Matip masih lagi dalam usaha untuk kembali ke tahap terbaik.

"Gomez dalam usaha untuk kembali pulih daripada kecederaan patah kaki tetapi kami enggan mengambil risiko.

"Matip masih lagi memiliki beberapa hari sebelum kembali menjalani latihan. Kami akan memastikan setiap pemain berada di tahap terbaik untuk aksi seterusnya."