ALAVES 1 REAL MADRID 2

Juara bertahan LaLiga, Real Madrid, bangkit daripada kekalahan sebelum ini dengan menewaskan Alaves 2-1 dalam aksi di Stadium Mendizorrotza, awal pagi tadi.


Dalam pertemuan terdahulu, skuad kendalian Zinedine Zidane itu mengalami kekalahan mengejut apabila tewas 0-1 di tangan Real Betis di Santiago Bernabeu.

Berada tujuh mata di belakang pendahulu, Barcelona, Madrid bertandang ke tempat lawan dengan meletakkan bintang utama, Cristiano Ronaldo, di barisan depan bersama Marco Asensio dan Lucas Vazquez.

Kehadiran Asensio dalam kesebelasan utama memberikan impak buat pasukan selepas larian pantasnya dari sebelah kiri membolehkan Daniel Ceballos melakukan rembatan leret menewaskan penjaga gol Alaves, Fernando Pacheco, untuk Madrid mendahului 1-0 pada minit ke-10.

Pasukan pelawat terus menggandakan asakan untuk memburu gol kedua, namun perkara sebaliknya berlaku apabila tandukan Manu Garcia hasil hantaran Munir El Haddadi pada minit ke-40 membolehkan tuan rumah mengikat kedudukan 1-1.

Ceballos kembali meletakkan Madrid di depan tiga minit kemudian selepas Pacheco gagal menampan kemas bola hantaran Daniel Carvajal dari sebelah kanan sebelum pemain tengah B-21 Sepanyol itu tenang menolak bola masuk untuk Madrid kembali mendahului sebelum tamat babak pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan permainan keras ditampilkan Alaves, termasuk layangan tiga kad kuning terhadap Rodrigo Ely, Alvaro Medran dan Garcia, namun tetap gagal mendapatkan gol penyamaan yang dicari.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat permainan, menyaksikan Madrid naik ke tangga keempat liga dengan 11 mata.