Javi Martinez masih berpeluang untuk cuba merebut tempat dan menyertai pasukan ke Piala Dunia di Russia selepas disahkan oleh pengendali, Julen Lopetegui.

Javi adalah antara nama yang mencipta kejutan selepas dicicirkan daripada senarai skuad La Roja untuk aksi persahabatan menentang Jerman dan Argentina bersama-sama bintang tengah Chelsea, Cesc Fabregas dan Alvaro Morata.

Pemain pertahanan Bayern Munich itu mendedahkan kepada media bahawa dia tidak menghubungi Lopetegui walaupun tidak disenaraikan, selepas kali terakhir menyarung jersi skuad kebangsaan ketika Piala Dunia 2014.

Bagaimanapun, Lopetegui menyifatkan peluang masih terbuka buat Javi untuk cuba mendapatkan kepercayaannya menjelang aksi berprestij itu.

"Javi telah dipanggil beberapa kali sebelum ini tetapi ditimpa masalah kecederaan sebelum sempat melaporkan diri," kata Lopetegui.

"Dia berada dalam perancangan kami walaupun tidak dipanggil atas sebab beberapa perkara. Sudah tentu dia masih berpeluang untuk dipilih ke Piala Dunia dan kembali bersama kami.

"Kami amat mengenalinya, dia adalah sebahagian daripada kami," ujarnya.