Jurulatih Sepanyol, Julen Lopetegui, menyifatkan perlawanan persahabatan pasukannya menentang Argentina adalah "aksi yang menarik" dan membuat semua mungkin tertumpu kepada Lionel Messi.

Bintang Barcelona itu direhatkan ketika Argentina menewaskan Itali 2-0 di Manchester akibat masalah hamstring tetapi dijangka dapat beraksi di Wanda Metropolitano di Atletico Madrid, awal pagi esok.

"Saya fikir menentang Argentina adalah perlawanan hebat, menentang pemenang tempat kedua Piala Dunia, di mana salah seorang pemain terbaik dalam sejarah bola sepak akan bermain," katanya.

"Itulah motivasi untuk kami," katanya.

Dalam pada itu, penjaga gol Sepanyol, David de Gea, adalah antara yang mengkritik bola rasmi yang akan digunakan dalam pusingan akhir Piala Dunia di Russia.

Tetapi jurulatihnya sedar pemainnya perlu cepat membiasakan diri jika mereka mahu memberikan aksi terbaik untuk melepasi peringkat kumpulan yang terdiri daripada Portugal, Maghribi dan Iran.

"Ia adalah bola rasmi Piala Dunia, dan semua pemain menggunakannya," kata Lopetegui.

"Kami perlu menyesuaikan diri dengan bola dan melihatnya dari sudut positif. Tiada apa lagi untuk saya bercakap tentangnya."

Sementara itu, De Gea, juga pemain Manchester United, mendedahkan dia lebih dihargai oleh penyokong Liga Perdana Inggeris berbanding peminat dan pemerhati di Sepanyol.

"Saya mendapat lebih banyak (positif) dari England berbanding di sini, kemesraan itu kuat diberikan kepada saya di England dan itulah sebabnya saya tidak banyak diberi perhatian di sini," katanya.

Sepanyol sebelum ini seri 1-1 dengan Jerman dalam perlawanan persahabatan.