SEPANYOL 4 ISRAEL 1

Julen Lopetegui kagum Sepanyol dapat meraih kemenangan meyakinkan ke atas Israel kerana percaya lawan mereka itu mampu "menggerunkan mana-mana pasukan".

Israel mencetuskan masalah buat Sepanyol dalam aksi kelayakan Piala Dunia awal pagi, terutama dalam separuh pertama, tetapi tuan rumah akhirnya merakamkan kemenangan 4-1 di Gijon untuk kekal mendahului Kumpulan G dengan mengatasi Itali menerusi perbezaan gol.

Sepanyol menepati status sebagai pasukan pilihan sebelum perlawanan, tetapi Israel turun dengan reputasi tiga kemenangan yang dicipta berturut-turut dalam Kumpulan G, sehingga mendorong Lopetegui percaya mereka adalah pasukan yang mampu menimbulkan ancaman.

"Kami berpuas hati dengan tiga mata ini kerana jelas mengatasi pasukan yang baik," Lopetegui kepada pemberita.

"Israel adalah sebuah pasukan mantap dan ia tidak mengejutkan saya bahawa mereka mampu menggerunkan mana-mana pasukan.

"Kami berjaya mengatasi Israel kerana kami telah beraksi baik, bukan kerana mahu merendahkan mereka. Mereka adalah sebuah pasukan yang hebat."

David Silva, Diego Costa, Isco dan Vitolo menyumbang gol untuk Sepanyol.

Aksi vitolo itu menarik perhatian ramai ekoran impak yang diciptanya sepanjang kempen kali ini.

Pemain sayap Sevilla itu tidak pernah meledak sebarang gol antarabangsa sebelum pusingan kelayakan Piala Dunia ini, tetapi dia kini mengetuai senarai penjaring dengan gol keempat dalam lima perlawanan.

Untuk itu, dia berterima kasih kepada Lopetegui di atas kepercayaan yang diberikan.

"Saya hanya mahu mengucapkan terima kasih kepada Lopetegui," kata Vitolo.

"Dia sentiasa memberikan saya perkara yang paling penting; kepercayaan dan kasih sayang."