BESIKTAS 2 LYON 1
(Lyon mara menerusi penentuan sepakan penalti 7-6, selepas terikat agregat 3-3)

Anthony Lopes dan Maxime Gonalons dijulang sebagai wira Olympique Lyonnais dalam debaran penentuan sepakan penalti untuk membawa mereka mara ke separuh akhir Liga Europa apabila mengetepikan Besiktas 7-6, awal pagi tadi.


Selepas meraih kemenangan 2-1 dalam pertemuan pertama minggu lalu -- kemenangan yang dibayangi oleh penangguhan akibat kekacauan penyokong sehingga kedua-dua kelab bakal berdepan hukuman dan kemungkinan digantung daripada menyertai kejohanan di peringkat Eropah oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) -- Lyon pula dikalahkan dengan keputusan jaringan yang sama sebelum tenang mengharungi penentuan penalti di Vodafone Arena.

Mujur, kejadian kekacauan penyokong seperti di Perancis tidak lagi berulang, sebaliknya ketua pasukan, Gonalos, dan penjaga gawang, Lopes, menjadi tajuk utama berikutan menjejak kejayaan AS Monaco dalam saingan Liga Juara-Juara untuk muncul dalam kalangan empat pasukan terbaik dalam saingan kelas kedua Eropah itu.

Selepas 12 sepakan penalti diambil, Lopes berjaya menyelamatkan percubaan Dusko Tosic, sebaliknya Christophe Jallet gagal mengambil kesempatan apabila sepakannya tersasar.

Sekali lagi Lopes menterjemahkan ketangkasannya di depan pintu gol apabila menafikan Matej Mitrovic untuk memberi peluang kepada Gonalons yang dengan tenang menyempurnakan sepakannya.

Dengan kedudukan tiga teratas saingan Ligue 1 tidak lagi dalam jangkauan, Liga Europa dianggap sebagai jalan terakhir Lyon untuk kembali ke pentas Liga Juara-Juara, ia salah satu usaha mereka untuk mengekalkan penggempur handalan, Alexandre Lacazette.