Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Raul Longhi, menuntut anak buahnya supaya kekal fokus untuk terus memburu kemenangan meskipun kini gah di persada Liga Super selepas membenam Negeri Sembilan 4-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Kemenangan ke atas tuan rumah itu membantu JDT mengukuhkan kedudukan mereka di puncak liga dengan mengutip 24 mata, ditambah pencabar terdekat, Pahang, hanya mampu seri 2-2 dengan Kedah di Stadium Darulmakmur.

Namun, Longhi enggan anak buahnya cepat berasa puas sambil menyifatkan perjalanan liga masih panjang dan mereka perlu mengekalkan fokus untuk mempertahankan kejuaraan yang telah dimenangi sejak 2014.

Berita gembira buat JDT juga apabila bakal dapat menurunkan dua awang import baru, Harry Novillo dan Jorge Santos Silva, menjelang pertemuan dengan Gergasi Merah ekoran jendela perpindahan kedua liga bakal dibuka esok.

"Kami bermain baik sepanjang 70 minit pertama. Pada hujung permainan kami banyak hilang bola dan gagal menguasai perlawanan tetapi kami meraih empat gol yang penting kepada kami dan enam mata mengatasi Pahang (tempat kedua)," kata Longhi.

Malang buat skuad Hoben Jang Hoben yang terus terperosok di dasar liga apabila gagal mengutip sebarang mata dalam perlawanan itu, sekali gus menjadikan skuad Jang terus kemarau kemenangan sejak 7 Februari lalu selepas menumpaskan Kuala Lumpur 2-0.

Ekoran itu, pengendalinya, Azraai Khor Abdullah, akan merombak pasukan Negeri Sembilan menjelang jendela perpindahan yang akan dibuka esok, namun enggan mendedahkan posisi yang akan mengalami perubahan tersebut.

"Kami dalam perancangan sebenarnya. Ia kerana dalam jendela perpindahan ini, kami tidak boleh membuat kesilapan lagi. Kalau pilih (pemain) tidak betul, memang kami akan kecundang.

"Kami sudah ada senarai pendek tetapi kami akan tengok keadaan. Setakat ini, kami belum ada nama-nama yang pasti diserap masuk," kata Azraai.