Jurulatih Negeri Sembilan, Mario Lomes, menganggap perubahan latihan antara punca kejayaan pasukannya untuk menamatkan kemarau kemenangan selepas membenam Kelantan 2-0 dalam Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

"Saya rasa pemain bekerja sangat keras sejak saya tiba di sini. Ia sukar untuk pemain kerana saya telah menukar corak latihan dan saya menukar gaya permainan mereka.

"Saya tahu ia sukar buat mereka kerana ia idea baru dan saya masih kurang mengenali mereka sehingga berlaku kesilapan tetapi ia berhasil," katanya.

Sementara itu, kapten Kelantan, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi, pula menganggap kekurangan pengalaman antara faktor kegagalan mereka untuk menyaingi lawan.

"Saya rasa faktor pengalaman, kami memiliki 90 peratus pemain muda. Jadi, ia antara faktor kekalahan kami. Daripada segi kecergasan, kami tidak mempunyai masalah," katanya.

Ia merupakan pertembungan dua pasukan yang menghuni tangga tercorot dalam Liga Super

Namun, tuan rumah yang lebih garang dengan mencipta beberapa gerakan berbahaya. Hasilnya, mereka di depan pada minit ke 15 apabila pemain pertahanan, Alex Gomes, menanduk kemas bola berpunca daripada sepakan penjuru.

Pada minit ke-37, penyerang, N. Thanabalan, dikasari dalam kawasan penalti dan rakan sepasukannya, Angel Guirado, tenang untuk menjadikan kedudukan 2-0 memihak Negeri Sembilan dan keputusan itu kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Selepas rehat, Negeri Sembilan masih menguasai permainan manakala Kelantan terus hilang punca dalam mencari gol.

Pemain Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, banyak mencuba menjadi penggerak untuk jentera serangan skuad The Red Warriors, namun percubaan mereka gagal menepati sasaran.

Keputusan 2-0 itu kekal sehingga wisel penamat.