Olivier Giroud meletakkan keutamaan kepada negara sebelum kelab dengan menganggap kapten Perancis, Hugo Lloris, sebagai penjaga gol yang lebih baik berbanding Thibaut Courtois.

Penyerang Chelsea, Giroud, akan berusaha untuk meranapkan impian Piala Dunia rakan sepasukan apabila kedua-dua negara bertemu dalam perlawanan separuh akhir di St Petersburg, awal pagi Rabu ini.

Kedua-dua penjaga gol hadir ke dalam perlawanan dengan mempamerkan persembahan mantap -- Courtois membintangi kemenangan Belgium 2-1 ke atas Brazil sementara Lloris memastikan gawang Perancis tidak dibolosi ketika menyingkirkan Uruguay.

Giroud, yang masih belum mencetak sebarang jaringan dalam edisi Piala Dunia kali ini, mengakui Lloris dan Courtois memiliki perbezaan fizikal tetapi masih terdapat persamaan.

"Mereka memiliki kaki kanan yang sama. Mereka kurang menggunakannya.

"Courtois seorang penjaga gol yang besar. Sukar untuk mencipta jaringan kerana setiap ruang mampu dicapainya.

"Saya telah menjaringkan beberapa gol dalam sesi latihan bersama Chelsea dan saya berharap dapat melakukannya dalam perlawanan akan datang.

"Mereka adalah penjaga gol yang berkualiti dan berhak dipilih sebagai penjaga gol terbaik kejohanan tetapi saya memilih Lloris.

"Lloris adalah yang terbaik. Maaf Courtois."