Penjaga gol Tottenham Hotspur, Hugo Lloris, mendedahkan dia melihat Gianluigi Buffon sebagai inspirasinya menjelang pertemuan di antara Spurs dan Juventus, Sabtu ini.

Buffon telah meraih perjalanan karier yang hebat selepas memenangi lapan kejuaraan Serie A, empat trofi Coppa Italia, satu Piala UEFA serta memenangi Piala Dunia pada 2006 bersama Itali.

Dia dijangka melakukan penampilan terakhir dalam Piala Dunia di Russia tahun depan dan Lloris tanpa berselindung meminati penjaga gol berusia 39 tahun itu sejak kecil.

“Ada sesuatu yang istimewa dan sukar untuk membicarakannya tetapi Buffon adalah pemain yang mampu mempengaruhi rakan sepasukannya,” kata Lloris.

“Juve memiliki ramai pemain legenda dan Buffon salah seorang daripadanya,” kata Lloris.

“Ketika kecil, saya adalah peminatnya. Dia berdiri sebaris dengan Iker Casillas, mampu menjadi idola ketika anda berusia 15 atau 16 tahun.

“Selepas 16 musim bersama Juve, dia masih mempamerkan keinginan yang tinggi seperti dulu. Anda pastinya bekerja keras apabila masih mampu beraksi hebat walaupun sudah mencecah usia sebegitu,” tambahnya.