Hugo Lloris akan kekal sebagai kapten Perancis untuk perlawanan persahabatan dengan England awal pagi nanti walaupun dia melakukan kesilapan besar ketika bertemu Sweden dalam kelayakan Piala Dunia, Sabtu lalu.

Ketika aksi di Stockholm berkedudukan 1-1, Lloris keluar daripada kotak penalti, namun gagal mengeluarkan bola jauh yang diambil pemain Sweden, Ola Toivonen, dari garisan tengah.

Toivonen segera merembat jauh sambil Lloris tidak berada di posisinya, sekali gus membuat penjaga gol Tottenham itu berasa malu.

Bagaimanapun, jurulatih Perancis, Didier Deschamps, mahu Lloris mengetepikan kesilapannya itu.

Katanya dalam sidang media sebelum perlawanan: "Dia akan bermain, sudah pasti. Lloris akan menjadi kapten. Jelas sekali, saya sudah berbincang tetang perkara ini dengannya.

"Jika dia melihat perkara itu berbeza, saya mungkin mengubah keputusan saya tetapi kami berdua fikir ia adalah perkara terbaik untuk dia lakukan. Ia adalah jelas.

"Kami mahu dia kembali di atas padang."

Pertahanan, Raphael Varane, yang menyokong keputusan Deschamps, menegaskan pasukan mempunyai keyakinan penuh terhadap ketua pasukan mereka.

"Kami semua melakukan kesilapan," kata Varane.

"Dia akan terus menyelamatkan kami dalam perlawanan lain dan kami tidak perlu menangis dengan kesilapan itu. Pasukan mempunyai keyakinan penuh terhadapnya."

Aksi kelayakan Piala Dunia zon Eropah itu menyaksikan Sweden menang 2-1.