Napoli mengesahkan mereka telah mendapatkan khidmat ejen bebas, Fernando Llorente.

Bekas penyerang Juventus itu kembali ke Itali selepas kontraknya berakhir dengan Tottenham.

Penyerang berusia 34 tahun itu menikmati dua musim di London Utara, menjaringkan dua gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tiga dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), termasuk usahanya membantu Spurs melangkah ke separuh akhir ketika mengatasi Manchester City, April lalu.

Bekas penyerang Athletic Bilbao, Sevilla dan Swansea City itu telah meledak 16 kali ketika berkhidmat bersama Juve.

Napoli tidak mengesahkan tempoh kontrak pemain tersebut, tetapi terdapat laporan dari Itali menyatakan mereka telah bersetuju dengan perjanjian selama dua tahun.

Llorente berpindah ke Stadio San Paolo, sekali gus menamatkan minat kelab terhadap bintang Inter, Mauro Icardi, yang telah diberitahu boleh meninggalkan San Siro.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti itu telah menjaringkan lapan gol dalam dua perlawanan musim ini, namun tewas 4-3 kepada Juve sebelum aksi perlawanan antarabangsa, dengan jaringan sendiri Kalidou Koulibaly memaksa mereka berputih mata selepas bangkit daripada ketinggalan di Stadium Allianz.