FULHAM 2 LIVERPOOL 2

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menolak pembelian panik selepas Thiago Alcantara mengalami kecederaan hamstring ketika seri 2-2 di Fulham.


Thiago terpaksa digantikan pada awal separuh masa kedua perlawanan sulung The Reds dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) di Craven Cottage, malam tadi.

Liverpool berdepan detik cemas untuk mengenal pasti setakat mana kecederaan yang dialami pemain antarabangsa Sepanyol itu di London.

Klopp sudah pun kehilangan pemain tengah, Alex Oxlade-Chamberlain (hamstring) dan Curtis Jones (betis), akibat kecederaan sementara Naby Keita terlepas pertembungan dengan Cottagers kerana masalah kesihatan.

Begitupun, pengurus dari Jerman itu tidak terkejut andai Thiago terpaksa berehat lama.

Dia memberitahu pemberita: "Saya tahu apa yang akan berlaku sekarang, sudah jelas. Kami berkata kami tidak memerlukan pemain tengah kerana ia kami sudah cukup tetapi masalahnya sekarang ialah kami dihukum kerana sesuatu yang di luar kawalan kami dan perkara seumpama ini boleh berlaku.

"Tiada siapa yang dapat membayangkan bahawa Curtis dilanda kecederaan. Ia tidak serius tetapi dia pemain muda dan dia memberi reaksi tertekan. Begitu keadaan tubuh kita.



"Naby hanya jatuh sakit dan dia pasti akan kembali minggu depan. Situasi Oxlade masih awal dan sekarang Thiago pula berdepan masalah, ia tidak bagis dan kita akan lihat kelak.

"Urusan perpindahan yang dilakukan sekarang perlulah masuk akal dan untuk jangka panjang; kami mempunyai pemain tengah, bilangannya memadai. Bukannya kami kekurangan pemain tengah cuma sebahagian daripada mereka tercedera.

"Ini bukan situasi yang bagus, saya tidak menyukainya sama sekali tetapi kita perlu lihat bagaimana kami bertindak balas terhadapnya -- tetapi yang pasti tidak panik."

Liverpool bangkit dua kali untuk berkongsi satu mata ketika menentang pendatang baru EPL itu yang dikendalikan Marco Silva.

Darwin Nunez masuk sebagai pemain gantian untuk mencetak nama selaku penjaring dalam penampilan sulungnya selepas gol Mohamed Salah merapatkan jurang perlawanan, sekali gus memadam kelebihan tuan rumah menerusi dua sentuhan pemusnah Aleksandar Mitrovic.