Virgil Van Dijk menegaskan tiada sebab untuk Liverpool berasa panik selepas tewas 2-1 di tangan Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris awal pagi semalam.

Rekod tanpa kalah skuad kendalian Jurgen Klopp itu akhirnya lebur di Etihad selepas Sergio Aguero dan Leroy Sane menyumbat jaringan buat City.

Liverpool yang memadamkan gol pembukaan Aguero menerusi Roberto Firmino mampu meraih kelebihan 10 mata di puncak liga jika meraih kemenangan tetapi kini jurang hanya dibezakan dengan empat mata.

Bagaimanapun, Van Dijk melihat tiada sebab untuk perkara itu menjadi tekanan tatkala kempen liga musim ini masih berbaki 17 perlawanan.

"Kami tahu ia bakal menjadi musim yang sukar dan akan ada turun naik. Aksi awal pagi semalam adalah salah satu contoh," kata Van Dijk.

"Anda hanya perlu terus berusaha dan bangkit. Itu yang perlu dilakukan.

"Ia satu perlawanan yang sengit buat kedua-dua pasukan. Mereka menang dan kami kecewa tetapi kami akan fokus untuk memperbaiki kesilapan dan memastikan diri bersedia bagi aksi seterusnya.

"Kami kecewa apabila kalah tetapi tiada sebab untuk panik. Bagi kami, ia hanya salah satu perlawanan penting liga. Malangnya, kami tewas dan gagal meraih keputusan positif.

"Ia adil buat City dan tahniah buat mereka tetapi kami perlu meneruskan perjuangan," ujarnya.

Liverpool bakal beralih ke pusingan ketiga Piala FA apabila berdepan Wolverhampton Wanderers di Molineux, Isnin depan.