Trent Alexander-Arnold sedar Liverpool sama sekali tidak boleh leka untuk menghadapi pertemuan kedua separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) dengan Villarreal, awal pagi esok, di sebalik selesa dengan bekalan 2-0.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu diangkat selaku pilihan utama untuk berhitung dengan Manchester City atau Real Madrid dalam perlawanan akhir di Stade de France selepas gol sendiri Pervis Estupinan dan jaringan Sadio Mane di Anfield minggu lalu meletakkan mereka dalam kawalan.

Liverpool merupakan satu-satunya kelab yang layak ke final selepas tewas dalam aksi pertama separuh akhir dengan dua gol atau lebih ketika memadam defisit 0-3 untuk kejayaan sensasi 4-0 ke atas Barcelona, tiga tahun lalu.

The Reds belum tewas dalam 12 perlawanan terakhir dan akan berkunjung ke El Madrigal dengan reputasi lima kemenangan berturut-turut termasuk tidak dibolosi dalam empat kemenangan terakhir.

Alexander-Arnold berkata mereka menjejak kaki di Sepanyol dengan memikirkan perjuangan ini sudah selesai, lebih-lebih lagi untuk menghadapi pasukan yang menyingkirkan Juventus dan Bayern Munich itu.




Pertahanan itu berkata: "Apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak, mereka adalah pasukan berkualiti tinggi yang boleh mengalahkan pasukan bertaraf dunia.

"Kami telah melihatnya menerusi Juve dan Bayern. Mereka dianggap 'underdog' jadi kami tidak boleh mudah berpuas hati. Kami baru di pertengahan aksi. Gol seterusnya boleh menjadi penentu kepada perlawanan ini."



Liverpool sedang memburu empat kejuaraan selepas mendakap Piala Liga Inggeris (EFL) musim ini dan pemain antarabangsa England itu mahu menikmati cabaran untuk peluang memenangi UCL, Liga Perdana Inggeris dan Piala FA dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

"Saya memang cakap mahukan sekurang-kurangnya satu trofi tetapi kami berhasil memenangi setiap perlawanan jadi kami dapat mengintai lebih banyak kejuaraan lagi," katanya.

"Perlawanan ini menarik untuk kami di peringkat ini. Musim lalu kami bergelut dalam UCL. Siapa yang akan bersungut sekarang?"