Erik ten Hag berasakan Liverpool tidak ampuh ketika berdepan Ajax sambil menganggap pasukannya tidak bernasib baik ketika tewas 0-1 dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di Amsterdam awal pagi tadi.

Ajax berpeluang untuk mencipta kejutan tetapi jaringan sendiri Nicolas Tagliafico dalam babak pertama sudah cukup untuk Liverpool kendalian Jurgen Klopp memulakan kempen Kumpulan D itu dengan kemenangan.

Liverpool tidak pernah menang dalam tiga perlawanan sebelum pertemuan itu dan ia merupakan perlawanan pertama mereka sejak pertahanan kental, Virgil van Dijk, mengalami kecederaan lutut serius Sabtu lalu.

Ten Hag berkata pasukan gergasi Eredivisie itu sepatutnya memanfaatkan kelebihan mereka ke atas juara Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.

"Ia akan menjadi bonus yang besar seandainya kami dapat meraih satu atau lebih mata," kata ketua jurulatih Ajax itu.

"Saya fikir Liverpool tidak ampuh. Malangnya, kami tidak dapat memanfaatkannya."

Ten Hag menambah: "Kami tidak bernasib baik. Kami beraksi baik secara keseluruhan. Kami amat meyakinkan tetapi 1 peratus terakhir telah hilang -- kami tidak menjaringkan gol biarpun mencipta banyak peluang.

"Saya fikir itu adalah kisah tentang perlawanan ini," katanya.

Tagliafica terjaringkan gol sendiri susulan percubaan Sadia Mane pada 10 minit terakhir babak pertama.

Ten Hag berasakan masih terdapat beberapa elemen dalam persembahan Ajax yang membuatkannya gembira.

"Kami tahu kekuatan Liverpool, kami mahu menghalang pertahanan sayap mereka, yang merupakan perancang mereka, daripada naik ke atas. Itulah caranya.

"Yang kedua, kami mahu mengawal permainan di bahagian tengah. Daley (Blind) amat bagus dalam melakukannya, dia amat tenang ketika memegang bola.

"Dan dengan cara itu, kami mahu menyerang bahagian pertahanan mereka dengan larian ke dalam.

"Saya fikir kami telah beberapa kali melakukannya dengan baik," katanya.