CRYTAL PALACE 1 LIVERPOOL 2

Jurgen Klopp berasakan Liverpool bakal berdepan aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Manchester City dengan semangat tinggi selepas memastikan kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace, semalam.


Liverpool ketinggalan di Selhurst Park selepas Luka Milivojevic menjaringkan sepakan penalti pada minit ke-13 selepas penjaga gol, Loris Karius, melakukan terjahan ke atas Wilfried Zaha.

Tetapi Sadio Mane menyamakan kedudukan sejurus perlawanan bersambung pada babak kedua sebelum jaringan gol Mohamed Salah memastikan pasukan merakamkan kemenangan.

Liverpool akan menerima kunjungan City bagi aksi suku akhir UCL dan Klopp berasakan mereka bakal menghadirkan semangat yang positif untuk perlawanan itu.

"Semangat pemain-pemain sedang membara, saya mengetahui kerana sebagai pemain profesional, tugas anda adalah perlu terus mempamerkan aksi cemerlang.

"Secara fizikal, kami tidak berada pada tahap terbaik tetapi kami telah berjaya menewaskan Crystal Palace. Saya sangat gembira di atas kemenangan ini.

"Cabaran yang sukar menanti kami ketika berdepan Manchester City. Tetapi kami cuba untuk menikmati kemenangan ini terlebih dahulu," katanya.

Salah mencetak gol yang ke-37 dalam musim pertamanya bersama The Reds dan Klopp memuji kebolehan pemain kebangsaan Mesir itu.

"Ia menjadikan dia seorang penyerang tulen. Jika anda hanya mampu meledak gol pada hari yang sempurna, tidak mungkin dia boleh meledak 37 gol musim ini.

"Salah amat menakjubkan. Saya berharap prestasinya berkekalan, itu adalah perkara yang penting."