MANCHESTER UNITED 2 LIVERPOOL 1

Marcus Rashford kembali dalam kesebelasan utama dengan persembahan bertenaga apabila meledak dua gol untuk membantu Manchester United mencatat kemenangan bermakna 2-1 ke atas Liverpool di Old Trafford, sebentar tadi.


Rashford diturunkan buat kali pertama sejak 'Boxing Day' yang menyaksikan Jose Mourinho membuat tiga rombakan dengan Paul Pogba diketepikan akibat kecederaan.

Begitupun, ia tidak menghalang pemain akademi kelab itu mencetak dua gol pada separuh masa pertama untuk meningkatkan harapan The Red Devils menamatkan saingan Liga Perdana di tempat kedua -- di belakang Manchester City yang hampir pasti menjulang kejuaraan.

Dalam pertemuan kompetitif ke-200 di antara kedua-dua pasukan itu, pemain antarabangsa England tersebut mengakhiri kemarau 10 perlawanan tanpa jaringan untuk United lima mata mendahului Liverpool yang kini di tangga ketiga.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu membuat lima pertukaran berbanding aksi Liga Juara-Juara (UCL) menentang Porto pada pertengahan minggu lalu, dengan Virgil van Dijk, Andy Robertson dan Trent Alexander-Arnold kembali memperkuatkan benteng manakala Alex Oxlade-Chamberlain dan Mohamed Salah turut tersenarai semula.

Bagaimanapun, percaturan itu dibuli oleh Romelu Lukaku, yang membuktikan kemampuannya mengawal bola hantaran jauh yang mencetuskan gerakan gol Rashford.

Malah, Juan Mata hampir mengukuhkan cengkaman tuan rumah, namun sepakan guntingnya melewati palang gol.

Jaringan sendiri Eric Bailly -- kembali beraksi sejak November lalu akibat kecederaan lutut -- memberi harapan kepada Liverpool untuk bangkit pada babak kedua.

Liverpool, yang semakin rancak mengatur serangan ghairah, tidak berpuas hati dengan kekasaran Ashley Young ke atas Mohamed Salah manakala rayuan penalti terhadap bola yang terkena tangan Antonio Valencia tidak diendahkan.

Pengurus United, Jose Mourinho, diejek ekoran percaturannya mengeluarkan Rashford untuk memberi laluan Marouane Fellaini mengukuhkan bahagian tengah ketika permainan berbaki 20 minit, dan pemain antarabangsa Belgium itu bernasib baik tidak dipersalahkan kerana menjatuhkan Sadio Mane dalam kotak penalti.

Klopp kemudian memasukkan Georginio Wijnaldum dan Dominic Solanke, namun Salah mensia-siakan peluang pada masa kecederaan dengan rembatan liar, sekali gus membenarkan United meraih kemenangan liga ketiga berturut-turut.