James Milner dan seluruh rakan sepasukannya akan terus menyokong Darwin Nunez selepas penyerang itu dilayangkan kad merah dalam penampilan pertamanya di laman sendiri awal pagi tadi, kata penolong ketua pasukan itu.

Pemain kebangsaan Uruguay berkenaan diarahkan keluar padang selepas sejam perlawanan di Anfield oleh pengadil, Paul Tierney, sewaktu Liverpool terikat 1-1 dengan Crystal Palace atas tindak balasnya menanduk muka Joachim Andersen.

The Reds pada ketika itu sedang ketinggalan 0-1 tetapi masih mampu bangkit dengan 10 pemain, di mana Luis Diaz memadamkan jaringan pembukaan Wilfried Zaha dengan rembatan gemilangnya dari jarak 25 ela.

Tuan rumah berpeluang memperoleh gol kemenangan pada penghujung aksi menerusi percubaan Mohamed Salah dan Fabio Carvalho yang sedikit tersasar sambil Zaha turut terlepas peluang keemasan di gawang bertentangan.

Bercakap kepada Sky SPorts selepas perlawanan itu, Milner berkata Nunez akan belajar daripada kesilapannya itu dengan bantuan daripada rakan sepasukannya.

"Saya tidak melihat insiden itu," kata pemain berusia 36 tahun berkenaan.

"Saya fikir reaksi daripada rakan sepasukan adalah perkara paling penting.

"Pasukan ini memberikan reaksi dengan amat-amat baik dan penyokong juga memberikan reaksi yang baik -- seperti kebiasannya mereka.

"Mereka berada di belakang kami dan kami hampir dapat memenangi perlawanan ini. Ia tidak berlaku tetapi kami perlu bergerak ke depan.

"Itulah yang dilakukan pasukan terbaik, mereka melaluinya bersama-sama dan akan kekal bersatu.

"Kami mempunyai semangat sepasukan yang tinggi di kelab ini dan anda tidak perlu berkata banyak mengenai penyokong di sini. Mereka amat luar biasa dan sentiasa berada di belakang kami, terutama dalam waktu sukar. Mereka melakukannya dan kami bergantung kepada mereka.

"Ia mengecewakan kerana tidak menang tetapi saya fikir reaksinya amat luar biasa daripada pemain kami -- 10 pemain dan terus berjuang," katanya.