Liverpool perlu segera sedar diri -- Hamann

Joe Wright
Februari 9, 2017 16:32 MYT
Liverpool perlu segera kembali berpijak di bumi nyata jika mereka berhasrat untuk mengembalikan kegemilangan terdahulu, menurut bekas pemain tengah, Dietmar Hamann.
Anak buah Jurgen Klopp yang menang sekali sahaja dalam kalendar 2017 -- iaitu ketika bertemu Plymouth Argyle dalam aksi ulangan Piala FA -- dan gagal menghasilkan sebarang kemenangan dalam lima aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).
The Reds memulakan kempen musim ini dengan gaya menakjubkan, bagaimanapun prestasi merundum menyaksikan mereka tersingkir daripada pemburuan piala domestik dan tercicir daripada kedudukan empat terbaik.
Hamann, yang menjulang trofi Liga Juara-Juara dan dua trofi Piala FA di Anfield, menyelar keseluruhan kelab itu kerana percaya dengan kehebatan yang digembar-gemburkan.
"Masalahnya adalah orang di sekitar kelab -- termasuk pemain-pemain -- dengan jangkaan menggunung terhadap Liverpool berbanding realiti sebenar mereka," katanya kepada blog bola sepak, Paddy Power.
"Terdapat jurang besar di antara persepsi dan realiti. Klopp perlu berjuang untuk mengubah mentaliti itu -- bukan sahaja untuk pasukan, tetapi kelab secara keseluruhannya. Semua orang perlu berusaha 100 peratus lebih keras untuk Liverpool kembali di tempat sepatutnya.
"Sebahagian masalahnya adalah kerana mereka telah mewujudkan tarikan di serata dunia, ramai masih anggap mereka adalah sebahagian daripada pasukan handalan di Eropah -- tetapi sebaliknya.
"Sebab utama kelab ini masih menarik adalah kerana kegemilangan pemain-pemain pada tahun 1970-an dan 1980-an.
"Pencapaian itu tiada kena mengena dengan pemain semasa dan ia tidak berlaku dalam tempoh lapan hingga 10 tahun kebelakangan ini. Kalau anda melihat sepanjang tempoh itu, ia agak mengerikan.
"Mereka perlu berpijak di bumi nyata, sama ada mereka telah melakukannya dengan betul atau tidak.
"Saya tidak katakan pemilik tidak memberi sokongan kepada Jurgen Klopp kerana dia diberikan peruntukan tapi cara berfikir mereka harus diubah.
"Mereka mempamerkan aksi hebat ketika berdepan Arsenal dan Chelsea di tempat lawan tapi mereka dikalahkan Hull (City), Burnley dan Wolves.
"Ada kalanya, kelab dan pasukan percaya dengan apa yang disensasikan. Mereka perlu konsisten. Tidak kiralah sama anda mengharungi 10-20 perlawanan tanpa kalah.
"Kalau Liverpool gagal menamatkan cabaran di kelompok empat terbaik dan tidak memenangi kejuaraan musim ini, ia mengecewakan. Itu sahaja.
"Sebelum Perayaan Hari Natal, orang ramai menganggap mereka adalah antara pilihan utama dalam saingan EPL. Sukar untuk menjelaskan punca mereka merudum.
"Sudah tentu anda boleh kalah - kebanyakan pasukan akan terjejas dalam tempoh tertentu -- namun, keputusan-keputusan teruk yang diraih dalam tempoh itu sukar diterima.
"Sikap cepat berpuas hati adalah isu utama yang dihadapi mereka ketika ini. Mereka berfikir 'kerana kami adalah Liverpool, kami tidak akan apa-apa'.
"Tidak, mereka tidak dalam keadaan baik kerana kebanyakan orang yang berada dalam kelab itu fikir, kalau pengurus diberi lanjutan kontrak selama empat tahun, ia kononnya petanda mereka sedang melakukan kerja dengan hebat, tapi sebenarnya tidak.
"Pengurus perlu memberi lebih banyak perhatian kepada kelab tapi ia adalah satu proses secara keseluruhan dan jika mereka mahu mencipta sesuatu dengan pemain yang ada."