Georginio Wijnaldum menegaskan Liverpool perlu kekal yakin walaupun setelah ditimpa kekalahan pertama musim ini di tangan Manchester City, awal pagi tadi.

Kelebihan Liverpool di puncak liga berkurangan kepada empat mata di depan City yang berada di tangga kedua selepas rekod tanpa kalah The Reds lebur 2-1 di Etihad.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu berpeluang untuk terus selesa di puncak liga dalam usaha meraih kejuaraan liga pertama sejak 1990, namun pelawat dikejutkan dengan jaringan kemenangan oleh Leroy Sane pada minit ke-72.

Pemain tengah The Reds, Wijnaldum, menggesa rakan sepasukan agar tidak patah semangat selepas melalui 20 perlawanan tanpa kalah di pentas Liga Perdana Inggeris musim ini.

"Saya rasa kami melakukan yang terbaik untuk mendapatkan mata dan kami juga berpeluang untuk menang," kata Wijnaldum.

"Kami tidak begitu bernasib baik dengan peluang yang diraih tetapi kami juga mensia-siakannya. Kami perlu kekal optimis dan cuba untuk memenangi aksi seterusnya.

"Lawan mengeluarkan bola dengan baik dan kami menggegarkan palang. Mereka juga mempunyai dua atau tiga peluang, jadi ia boleh jadi keputusan menang, seri atau tewas buat kami. Akhirnya, kami tidak bernasib baik dan mereka menang.

"Kami tahu ia bakal menjadi aksi sukar dan kami perlu memberikan segalanya untuk memenangi perlawanan itu. Beberapa aksi musim ini menyaksikan kami bernasib baik dapat menjaringkan gol dan hari ini kami tidak bernasib baik dengan peluang yang hadir. Inilah bola sepak.

"Kadangkala, anda dapat menyumbat banyak gol dalam sesuatu perlawanan menerusi setiap peluang yang ada dan ada waktu yang anda gagal. Apa yang penting ketika ini adalah kami perlu kekal yakin dan menang perlawanan selepas ini."

Wijnaldum juga menambah: "Apa yang kami cuba lakukan adalah tidak melihat kepada kedudukan -- di mana posisi kami atau berapa perbezaan mata -- kerana kami hanya boleh mengawal prestasi kami sendiri dan tidak dapat menyekat persembahan pencabar lain.

"Kami hanya fokus kepada pasukan sendiri, cuba memenangi perlawanan, cuba memberikan segalanya dan lihat nanti di penghujung musim. Kami tidak sibuk melihat kedudukan liga sebelum ini dan tetap tidak akan melihatnya kali ini."