Jurgen Klopp menggesa Liverpool untuk mengikut jejak pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea.

Pengurus The Blues, Antonio Conte, meraih kemenangan bermakna 2-1 ke atas Manchester City di Stamford Bridge semalam untuk mengekalkan kelebihan tujuh mata ke atas Tottenham Hotspur.

City mengasak hebat pada separuh kedua, namun Chelsea mempamerkan kekentalan mempertahankan dua jaringan Eden Hazard, manakala Liverpool pula gagal bertahan ketika mendahului di Anfield apabila Josh King menjaringkan gol lewat permainan buat Bournemouth untuk mengakhiri permainan dengan 2-2.

The Reds kini menghuni tangga ketiga EPL -- 12 mata di belakang Chelsea yang telah bermain lebih satu perlawanan -- dan Klopp percaya pasukannya boleh mengambil iktibar daripadanya.

Ditanya jika Liverpool boleh menimba pengalaman daripada bakal juara EPL itu, Klopp berkata: "Mungkin.

"Chelsea, sebagai contoh, tidak menyentuh bola sebanyak tiga kali dalam tempoh 20 minit terakhir.

"Ya, kami tidak mempunyai pengalaman seperti itu. Mungkin kami memerlukan perkara seperti ini untuk mengutip lebih banyak pengalaman walaupun keputusannya tidak begitu memberangsangkan.

"Dalam masa yang sama, kami menjaringkan gol terbanyak dalam EPL setakat ini, jadi ia adalah sebahagian daripada permainan yang kami cuba untuk mencipta sesuatu sepanjang masa.

"Yang pasti, kami perlu mendapatkan lebih banyak pengalaman dalam hal ini."

Liverpool mempunyai baki tujuh perlawanan -- satu anak tangga di atas City, manakala pasukan di tangga kelima dan keenam, Arsenal dan Manchester United, mempunyai kelebihan dua perlawanan -- akan berkunjung Stoke City, esok.