Jurgen Klopp memberikan bayangan bahawa Liverpool mungkin turun menentang Leeds United tanpa Roberto Firmino, Alisson dan Fabinho malam esok.

Firmino tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan paha ketika bertemu Chelsea tetapi keberadaan Alisson dan Fabinho masih menjadi persoalan selepas Brazil membuat permohonan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menggantung pemain berkenaan daripada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini.

Brazil menggesa badan induk itu mengambil tindakan selepas kelab-kelab EPL bersetuju untuk tidak membenarkan pemain mereka ke Amerika Selatan berikutan kebimbangan keperluan tempoh kuarantin panjang selepas mereka pulang ke kelab dan terlepas beberapa perlawanan.

Ditanya mengenai perkembangan situasi itu, Klopp berkata dalam sidang media: "Saya tahu Bobby (Firmino) tidak dapat diturunkan kerana kecederaan. Pemain lain, saya tidak tahu.

"Ia satu situasi yang amat sukar dan berbahaya buat kelab dan pemain terutamanya.

"Kita tidak boleh mengabaikan bahawa pemain mahu bermain, kelab mahu melepaskan mereka tetapi ia tidak dapat berlaku.

"Ia benar-benar kelihatan seperti satu hukuman buat pemain kerana mereka tidak dapat bermain, dan sudah pasti buat kelab juga.

"Kami belum membuat keputusan bahawa pemain berkenaan tidak akan diturunkan.

"Brazil beraksi awal pagi tadi dan memenangi tiga perlawanan dan masih lagi ada rungutan.

"Sebelum waktu rehat terakhir ini, saya berjumpa (Arsene) Wenger dan dia menunjukkan perancangan Piala Dunia. Pada ketika itu saya mendapat mesej daripada sumber kami bahawa 'tiada pengecualian daripada kerajaan buat pemain kami'.

"Kini kami berdepan satu situasi, kami masih tidak tahu pemain mana yang akan diturunkan hujung minggu ini.

"Saya masih tidak tahu bila saya akan mendapat penyelesaiannya, kita akan lihat kemudian. Saya tidak tahu bila saya perlu membuat keputusan. Saya mahu menurunkan mereka malam esok tetapi kita akan lihat," katanya.

Skuad kendalian Klopp itu akan bertandang ke Elland Road dengan rekod tanpa kalah kedua terpanjang dalam empat liga divisyen teratas di England (13 perlawanan) selain memenangi tujuh daripada lapan perlawanan EPL terakhir.

Leeds pula tidak pernah menang dalam lapan pertemuan EPL terakhir dengan Liverpool, di mana mereka terikat 1-1 di Elland Road musim lalu.