Divock Origi mendedahkan Liverpool telah menawarkan kontrak lanjutan di atas persembahan cemerlangnya dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Pemain kebangsaan Belgium, Origi, menjaringkan gol kemenangan ketika mengatasi Tottenham 2-0 dalam aksi final di Stadium Wanda Metropolitano, awal pagi Ahad lalu dan akan diberi kontrak baru sebagai habuan.

Pemain berusia 24 tahun itu hanya berbaki 12 bulan dalan perjanjian asalnya tetapi bersedia untuk menangguhkan perbincangan selepas tamat saingan kelayakan Euro 2020 berdepan Kazakhstan dan Scotland.

Origi, yang kerap menjaringkan gol penting walaupun kurang waktu bermain bagi musim 2018-19, meledak dua gol ke atas Barcelona dalam aksi separuh akhir dan gol kemenangan minit terakhir ke atas Everton dan Newcastle United bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Ya, ia membuktikan Liverpool mengiktiraf usaha saya," katanya.

"Saya berasakan kami akan berbincang perkara ini dengan lebih lanjut tetapi saya mahu memberikan tumpuan kepada dua perlawanan penting bersama Belgium terlebih dahulu.

"Ejen saya akan menguruskan perkara ini," ujarnya.

Origi mewakili Belgium sejak Piala Dunia 2014, namun bergelut mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama di Anfield.

Dia berazam untuk terus mempertingkatkan mutu permainan.

"Saya semakin matang di atas padang dan meletakkan sasaran untuk sentiasa meningkatkan lagi persembahan setiap kali turun beraksi."