Pengurus Bournemouth, Scott Parker, mengakui tergamam, kelu tak terkata-kata. Penjaga golnya, Mark Travers, pula tidak segan-silu mengakui tidak tahu apa yang membolosi pintu golnya dari tiga minit selepas sepak mula hinggalah lima minit sebelum tamat.

Dalam pada itu, Liverpool harus tidak tersilap dengan analisisnya bahawa kemenangan 9-0 di Anfield semalam – menyamai rekod jaringan terbesar dalam Liga Perdana Inggeris – adalah cara terbaik untuk melenyapkan sebarang keraguan.




Jaringan berganda Roberto Firmino dan Luis Diaz manakala selebihnya daripada Harvey Elliott, Trent Alexander-Arnold, Virgil van Dijk dan Fabio Carvalho menyempurnakan kemenangan sulung buat skuad Jurgen Klopp yang sebelumnya hambar dalam tiga perlawanan pertama.

Barangkali ia cuma Bournemouth yang baru kembali ke saingan peringkat tertinggi selepas dua musim tapi tiga mata yang diraih tetap dirasakan manis daripada pertunjukan yang dominan dan meyakinkan.

Seperti dirumuskan liverpoolfc.com, ada banyak nilai positif ditampilkan The Reds, tidak terkecuali sikap tidak lokek Firmino yang berterusan menjadi pembekal buat rakan sepasukan – pemain pertama untuk terlibat secara langsung dengan empat gol dalam separuh masa pertama satu perlawanan EPL sejak Februari 2017.

Hari gemilangnya turut dilengkapi satu jaringan jarak dekat pada minit ke-62 sebagai golnya yang ke-100 buat kelab. Tidak hairan jika penyokong berdiri memberi penghormatan Ketika dia dikeluarkan 20 minit sebelum tamat.

Ingat juga Elliott selepas ini. Dua gol buat Liverpool – kedua-duanya cantik – menyerlahkan kejaguhannya, tambahan gol pertamanya dalam EPL adalah hasil sepakan lencong dari penjuru petak penalti untuk tuan rumah berkelebihan 2-0.

Enggan ditenggelami, Alexander-Arnold menampilkan keistimewaannya 22 minit kemudian. Percubaan jarak jauhnya menghala ke penjuru atas pintu gol tanpa Travers berpeluang melakukan apa-apa untuk menghalang.

Menambah perisa kepada kemenangan Liverpool ini ialah peluang yang diberikan Klopp buat tiga bakat muda dalam pasukannya dan mereka rata-rata tidak menghampakan.

Ia didahului Stefan Bajcetic, 17, yang masuk pada minit ke-70 untuk penampilan sulungnya di barisan tengah.

Menyusul selepasnya ialah Carvalho, 19, yang meraikan detik manis gol sulungnya dalam jersi Liverpool sejak ketibaannya daripada Fulham musim panas lalu.

Seterusnya, Bobby Clark, 17, ditampilkan dalam kelompok pemain senior dan ternama tanpa perantis Akademi Kirkby ini banyak menunjukkan kegemuruhan mahpun dikerdilkan untuk lebih kerap disandarkan harapan pada masa depan.




Klopp, sebelum perlawanan semalam, jenuh mengulangi bahawa dia dan pemain-pemainnya tidak harus banyak beralasan terhadap kehambaran permulaan musim melainkan kepercayaan bahawa mereka hanya boleh meningkat.

Selepas tiga minggu menjadi bahan persoalan, Liverpool akhirnya menemui rentak mereka bagi menebus ketumpulan serangan ketika berdepan Crystal Palace dan Manchester United sebelumnya.

Harus sangat mengujakan juga untuk melihat Alexander-Arnold dan van Dijk – dua tonggak yang teruk dikecam ketika ditundukkan United – kembali dengan keyakinan untuk melonjakkan pasukan ke tahap sepatutnya.

Mungkin ia keterlaluan untuk Liverpool – gara-gara tiga perlawanan pertamanya itu – diandaikan bakal terkeluar daripada kelompok empat teratas pada penghujung musim ini.

Tapi ia harus tidak lagi.