Masih segar daripada kemenangan bergaya 7-1 ke atas Rangers pada pertengahan minggu, Liverpool meneruskan kebangkitan mereka dengan menghadiahkan kekalahan pertama musim ini buat Manchester City.

Aksi di pentas Liga Juara-Juara UEFA (UCL) di Stadium Ibrox, Khamis lalu, menyaksikan Mohamed Salah menobatkan dirinya sebagai penjaring hatrik paling pantas dalam sejarah.

Aksi awal pagi tadi pula menjadikan dia wira dengan menjaringkan gol kemenangan yang diperoleh setelah kedua-dua pasukan berhempas-pulas untuk mengatasi satu sama lain.

Di barisan pertahanan, Virgil Van Dijk yang dikatakan tidak lagi cemerlang seperti musim-musim lalu membuktikan dirinya masih lagi kukuh dan utuh dengan merantai penyerang City, Erling Haaland yang seolah-olah tidak dapat dihentikan kemaraannya dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.

Detik paling sesuai untuk menggambarkan kecemerlangan Van Dijk hadir pada minit ke-80 ketika Liverpool sudah pun mendahului dan City bermati-matian mengejar.

Pemain sayap City, Joao Cancelo, menemui peluang untuk melakukan hantaran silang tajam dari sebelah kanan ke arah Haaland yang sudah bersedia untuk melepaskan tandukan.

Berdasarkan sudut Haaland menempatkan dirinya, jika tandukan itu kena pada sasaran, ia mustahil untuk penjaga gol Liverpool, Alisson, melakukan tampanan.

Namun, pada saat-saat terakhir sebelum bola hinggap ke kepala Haaland, Van Dijk tiba-tiba muncul dari belakang dan menanduk bola melepasi gawang bagi mengekalkan kelebihan buat Liverpool.




Pasangan Van Dijk, Joe Gomez, turut sama menunjukkan persembahan yang cukup membanggakan. Dia tidak gentar untuk bersemuka secara fizikal dengan Haaland, serta bergandingan baik bersama James Milner dan Andy Robertson di bahagian bek kanan dan kiri untuk menyekat barisan serangan City secara menyeluruh.

Di sebalik segala aksi sengit dan semangat membara yang ditunjukkan kedua-dua pasukan, perlawanan ini sedikit dicemari oleh pengadil, Anthony Taylor, yang seolah-olah keberatan hendak meniupkan wisel pada kebanyakan waktu.

Sepanjang 90 minit, Salah dikasari berulang-ulang kali, termasuk bentesan kasar dari belakang oleh pertahanan tengah City, Rodri, namun faul tidak diberikan, apatah lagi kad kuning buat pemain pelawat itu.

Tidak menghairankan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mengamuk pada detik-detik penghujung perlawanan setelah menyaksikan Salah digusti oleh seorang lagi pemain tengah City, Bernardo Silva, dan sekali lagi tidak menerima sebarang faul.

Klopp ditunjukkan kad merah, namun tiada sesiapa wajar menyalahkannya kerana pengadil sememangnya kelihatan agak keliru dan tidak keruan.

Jika bukan kerana bantuan sistem VAR, gol yang dijaringkan penyerang City, Phil Foden, pastinya tidak akan dibatalkan dan mungkin keputusan perlawanan berubah sama sekali.




Tidak kira apa pun, selembut mana pengadil atau sekasar mana percubaan pemain-pemain City dalam menyekat dirinya, Salah tetap kekal gagah.

Detik anjakan paradigma Liverpool tiba pada minit ke-76, sewaktu Allison menyedari Salah berada pada posisi yang cukup berbahaya, dengan hanya seorang pemain City, Cancelo, yang berada di hadapannya.

Tendangan padu Allison terbang melepasi kepala semua pemain lain dan singgah tepat di kaki Salah, manakala percubaan Cancelo untuk memintas hanya menyebabkan ruang terbuka untuk Salah mara tanpa halangan ke arah pintu gol City.

Pada minit-minit sebelum saat ini, salah satu percubaan Liverpool menyaksikan rembatan leret Salah sipi-sipi melepasi tiang dan keluar padang, tetapi kali ini tiada sebarang kesilapan dilakukan, sudut kiri disasarkan dan gol dijaringkan.

Jika ada yang terfikir bahawa persembahan hambar Liverpool sebelum ini menandakan musim ini sudah berakhir buat mereka, ia ternyata satu tanggapan yang pra-matang dan sama sekali silap.