Liverpool idam sapu bersih kejuaraan, kata Alisson

Shaiful Shamsudin
November 14, 2021 01:54 MYT
Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker, mengisytiharkan The Reds memiliki selera lebih tinggi berbanding sekadar merampas semula kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menegaskan keinginan mereka untuk memenangi setiap kejuaraan.
Kelab dari Anfield itu menamatkan penantian 30 tahun untuk menjulang kejuaraan liga dengan meraih mahkota liga pertama pada 2019-20, tetapi gagal mempertahankan status mereka berkenaan sebagai juara musim lalu selepas diragut Manchester City.
Anak buah Jurgen Klopp tersebut mengalami tamparan hebat dalam usaha mereka itu apabila tumbang 2-3 kepada West Ham buat kali pertama dalam saingan liga pertama musim ini sebelum rehat antarabangsa untuk tergelincir di tangga keempat.
Bagaimanapun, The Reds hanya empat mata di belakang pendahulu, Chelsea, selepas 11 perlawanan, lantas Alisson menegaskan kelab itu berkeinginan menjadi yang terbaik dalam setiap pertandingan, bukan sekadar liga sahaja.
Gergasi Merseyside itu berada di tangga teratas kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) selepas menang keempat-empat perlawanan selain mengesahkan tempat suku akhir ke Piala Liga Inggeris (EFL) untuk menghadapi Leicester City.

A week until we're back in action and back at Anfield ?? pic.twitter.com/RrBDWcMrL6

— Liverpool FC (@LFC) November 13, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Sejujurnya, ia lebih daripada itu (mendapatkan semula gelaran EPL)," kata Alisson kepada majalah Liverpool FC.
"Kami mahu lebih daripada itu.
"Sudah tentu kami mahu memenangi kesemua kejohanan yang ada. Kami mahu memenangi UCL, EPL, Piala FA, Piala EFL -- semua kejohanan yang boleh disertai.
"Ini sepatutnya menjadi matlamat dan sasaran untuk semua pemain bagi sebuah pasukan seperti kami. Tetapi kami perlu menghadapi satu persatu perlawanan dan mesti fokus dalam setiap tugasan dengan berusaha 100 peratus."
Perlawanan membabitkan Liverpool seterusnya selepas rehat antarabangsa ialah pertembungan menentang Arsenal yang dalam prestasi terbaik di Anfield, Ahad depan.
#Liverpool #EPL #Liga Perdana Inggeris