Naby Keita bergelut dengan kecederaan dalam kemenangan Piala Liga Inggeris (EFL) di Norwich City selepas dilanda masalah kaki dalam separuh masa pertama pertemuan di Carrow Road itu.

Justeru, pemain tengah itu dijangka tersisih ketika Liverpool berkunjung ke Brentford tengah malam ini dan mungkin ke Porto sempena Liga Juara-Juara (UCL), sementara Thiago juga dijadual tidak akan kembali selepas rehat antarabangsa bulan depan, ini bermakna dia akan terlepas pertembungan dengan skuad kendalian Pep Guardiola, Manchester City, berkenaan pada 3 Oktober depan.

Pemain Sepanyol itu mengalami kecederaan berkenaan dalam kemenangan 3-0 ke atas Crystal Palace di Anfield, minggu lalu, sebelum digantikan oleh Keita selepas 62 minit permainan.

Pengurus The Reds, Jurgen Klopp, berkata: "Tidak 100 peratus jelas bilakah Thiago akan kembali. Ia berkaitan masalah otot di betis. Selepas rehat antarabangsa, mungkin. Saya tidak fikir sesuatu yang lebih awal mungkin berlaku. Kita akan lihat kelak.

"(Keita pula) tidak serius tetapi dia pasti terlepas perlawanan ini, mungkin lebih lama. Sudah tentu ini tidak bagus sedangkan mereka menjalani pra-musim yang bagus, dapat beraksi banyak dalam perlawanan dan sekarang terpaksa direhatkan pula. Ini boleh berlaku sepanjang musim. Mudah-mudahan mereka pulih segera, itu saja setakat ini agar mereka dapat beraksi sepanjang musim ini."

Liverpool telah memulakan musim ini dengan bergaya menerusi empat kemenangan dan seri sekali daripada lima perlawanan pertama mereka sambil menjaringkan 12 gol dan bolos sekali sahaja.

Namun, Klopp meramalkan satu ujian sukar ketika berdepan Brentford yang mengejutkan Arsenal pada hari pembukaan kempen pertama mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).







"Saya menyaksikan sidang media (pengurus, Brentford]) Thomas Frank, dan ia salah satu perkara paling menghiburkan yang saya tonton dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Setengah jam bercakap mengenai pemain yang berbeza -- ia sesuatu yang sangat bagus," katanya lagi.

"Corak permainan mereka amat luar biasa, organisasi mereka luar biasa, jadi jelas sekali Thomas telah melakukan satu pekerjaan yang cemerlang, Brentford beraksi dengan cemerlang. Mereka membuktikan dengan pelaburan lebih kecil mereka masih mampu melakukan sesuatu yang sangat istimewa.

"Ini mengingatkan saya ketika saya di Mainz: kami tidak mempunyai peruntukan besar, kami perlu bertindak sangat kreatif dalam pasaran perpindahan. Mungkin terdapat perbezaan besar di antara wang yang dimiliki Brentford dan Mainz, tetapi ia membuktikan bahawa ia masih boleh dicapai."