LIVERPOOL 0 PORTO 0
(Liverpool mara dengan agregat 5-0)


Liverpool mara ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) selepas seri tanpa jaringan dengan Porto di Anfield, awal pagi tadi.

Aksi hambar The Reds, bagaimanapun, tidak memberikan sebarang kesan selepas membelasah Porto 5-0 di Portugal untuk menempah tiket ke suku akhir buat kali pertama sejak musim 2008-09.

Kemenangan selesa dalam aksi pertama membenarkan Jurgen Klopp melakukan lima pertukaran dalam kesebelasan utama yang menewaskan Newcastle United 2-0, Sabtu lalu, dengan Mohamed Salah direhatkan untuk memberikan ruang kepada Adam Lallana beraksi dalam kesebelasan utama buat kali pertama selepas dua bulan.

Sadio Mane memiliki dua peluang terbuka untuk menjaringkan gol dalam babak pertama, namun percubaan keduanya sekadar menggegar palang gol manakala Dejan Lovren melepaskan tandukan yang tersasar.

James Milner dan Roberto Firmino turut melepaskan peluang terhidang dalam babak kedua manakala Lovren berjaya membaca gerakan Oliver Torres dan menghalang percubaannya bagi memastikan Liverpool kekal sebagai salah satu daripada tiga pasukan selain Tottenham dan Barcelona, yang belum tewas dalam saingan UCL.