Liverpool melakukan perarakan trofi Liga Juara-Juara Eropah di sepanjang jalan bandar raya itu setibanya dari Madrid semalam.

Jurgen Klopp menamatkan penantian kejuaraannya di Anfield setelah The Reds menewaskan Tottenham Hotspur dalam aksi final di Wanda Metropolitano, awal pagi semalam.

Kejuaraan Eropah keenam itu diraih menerusi jaringan daripada Mohamed Salah dan pemain gantian, Divock Origi.

Liverpool dilihat dilihat bakal terus meraikan kejayaan yang diraih sambil pertahanan utama, Virgil Van Dijk, merupakan salah seorang pemain yang tidak akan menyertainya susulan tugas antarabangsa bagi saingan Liga Negara-Negara UEFA.

"Ia hebat, sangat istimewa. Saya berbangga untuk berada bersama jurulatih tetapi diharapkan kami mampu meraih hari sebegini lagi," katanya.

"Saya menjangkakan sesuatu yang besar tetapi ini telah melepasi sasaran saya.

"Tidur selama setengah jam mungkin berbaloi. Saya tidak pasti saya akan meraih malam yang lebih hebat berbanding kejayaan ini. Esok, saya harus lebih fokus kerana akan kembali menjalani latihan bersama skuad kebangsaan Belanda untuk berdepan England.

"Saya menitiskan air mata di akhir perlawanan. Saya berbangga dengan pasukan ini serta pemain dalam pasukan. Ia hebat."

Ribuan peminat Liverpool dilihat membanjiri sepanjang jalan di bandar raya itu tatkala pemain The Reds, termasuk Trent Alexander-Arnold dan Andy Robertson, turut memeriahkannya.

Liverpool kini bakal menikmati tempoh rehat sebelum permulaan Liga Perdana Inggeris musim depan serta aksi Piala Super Eropah menentang Chelsea, Ogos depan.