Robbie Fowler percaya kejayaan Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) akan menghadirkan lebih banyak gelaran di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Liverpool menjulang gelaran keenam UCL selepas menewaskan Tottenham 2-0 di Wanda Metropolitano, Madrid, awal pagi tadi.

Mohamed Salah dan Divock Origi muncul peledak jaringan untuk merangkul gelaran pertama di bawah kendalian Klopp.

Legenda The Reds, Fowler -– pemenang Piala UEFA, Piala Super, Piala FA dan Piala EFL ketika bersama Liverpool -- menyokong skuad kendalian Klopp untuk menikmati lebih banyak gelaran.

"Liverpool sudah kembali ke pentas dunia. Mereka akan berkembang lagi," kata Fowler.

"Ini merupakan langkah pertama dan pengalaman ini akan meletakkan mereka sebagai sebahagian daripada pasukan elit dunia.

"Pasukan ini sedang berkembang, skuad yang masih muda dan belajar daripada pengalaman mereka. Anda dapat melihat aksi yang goyah dipamerkan dalam separuh masa pertama.

"Kekalahan musim lalu menjadi pengajaran buat mereka, ia amat memedihkan tetapi pemain-pemain kini lebih matang.

"Liverpool merupakan pasukan yang sudah berada di tahap terbaik. Mengatasi gergasi Eropah seperti Bayern Munich dan Barcelona. Mereka memiliki potensi untuk terus meraih gelaran," katanya.