Sejak 2021, penyerang naturalisasi negara, Liridon Krasniqi, diberi tanggungjawab mengubah wajah bola sepak negara.

Namun, dia masih belum mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dimahukan pencinta bola sepak tanah air.

Sehingga ke saat ini, tiada garis senyuman milik Liridon walaupun penampilan terbaru bersama skuad kebangsaan menghasilkan jaringan tunggal di Stadium Nasional, Singapura.

Mencetak jaringan di bawah kendalian Kim Pan-gon, sepatutnya berjaya menyumbang senyuman buat pemain naturalisasi itu -- tetapi hal itu tidak berlaku.

Jaringan tunggal tidak cukup untuk Liridon berasa puas malah apabila ditanya berkenaan dengan prestasi pada Sabtu lalu, Liridon tampak dingin.

"Jurulatih akan membuat penilaian terhadap persembahan saya. Saya sangat berbangga kerana dapat mewakili negara dan sentiasa akan cuba melakukan yang terbaik kerana itu adalah sasaran utama," katanya ketika ditemubual wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Bagaimanapun, ia bukan petanda Liridon berubah hati untuk terus menabur bukti, pemain itu menegaskan, ia adalah sesuatu yang istimewa sebaik namanya disenarai dalam kem latihan kali ini.

Cuma dia belum dapat memberi keberkesanan terbaik untuk Harimau Malaya -- bercakap mengenai beberapa peluang terhidang melibatkannya dengan beberapa pemain lain, Liridon ada pandangan tersendiri.

Malaysia meratapi kekalahan 2-1 kepada Singapura dalam saingan Siri Tiga Negara, dua jaringan Ikhsan Fandi memberikan kekalahan pertama skuad kebangsaan di bawah bimbingan Kim Pan-gon.