Bekas ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, berpendapat pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi, dan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, perlu berkerjasama bagi membentuk keserasian erat.

Usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjadikan Liridon sebagai pemain naturalisasi negara mendapat pelbagai reaksi daripada warga bola sepak tanah air.

Tatkala ada yang berpendapat kehadiran bekas pemain Kedah itu mampu memberi impak positif kepada skuad kebangsaan, namun ada juga yang berasakan sebaliknya.

"Liridon harus mengikut rentak dan apa yang dikehendaki oleh Cheng Hoe, bukan pasukan ikut rentak pemain kerana dia seorang pemain yang berpengalaman, sudah lima tahun beraksi di Malaysia. Dia sudah tahu cara Malaysia bermain. Jadi, apa yang penting, dia harus ikut apa yang pasukan mahu," ujar Irfan.

Sementara itu, pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri, pula berpandangan ia usaha yang baik tetapi memerlukan kerjasama antara satu sama lain membabitkan jurulatih dan pemain.

"Sudah pasti ia menjadi satu peringatan yang bagus buat pemain tempatan. Jumlah pemain tempatan akan berkurangan kerana ada penambahan pemain baru. Bukan sahaja Liridon tetapi akan ada pemain lain. Jadi, pemain tempatan perlu berusaha lebih keras untuk membantu pasukan negara," katanya.




Editor: Nafis Abdullah