Pemain tengah naturalisasi negara, Liridon Krasniqi, enggan mengendahkan perkara di luar padang, sebaliknya fokus untuk membantu Harimau Malaya mencapai misi menjadi 12 pasukan terbaik Asia dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Piala Asia bulan depan.

Buktinya, pemain kelab Australia, Newcastle Jets, itu sempat bertemu dengan legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho, di Dubai bagi mendapatkan panduan menjelang pertemuan menentang pasukan tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun ini.

"Yang pertama, sudah pasti saya berasa amat berbesar hati untuk mendapat panggilan skuad kebangsaan," katanya kepada Nadi Arena.

"Saya teruja untuk berjumpa pemain lain selepas beberapa bulan dan kini saya sudah berada di sini.

"Saya fikir kami mempunyai pasukan yang baik dan latihan pertama saya juga berlangsung dengan baik.

"Bola sepak memang seperti itu, adakalanya anda mempunyai isu dan adakalanya tidak. Kami tidak akan membawa masalah seperti itu ke dalam permainan dan hanya fokus di atas padang.

"Jika saya turun bermain dan memikirkan mengenai kritikan peminat, saya akan hilang akal dan kritikan itu akan membuatkan saya benar-benar kecewa," katanya.

Mengenai pertemuannya dengan Ronaldinho, Liridon menambah: "Ronaldinho adalah sebab saya bermula bermain bola sepak. Dia penyebab saya amat meminati dan mencintai bola sepak.

"Saya sedang berada di pantai dan secara tiba-tiba dia berjalan melewati saya dan saya seperti tidak percaya itu adalah dirinya.

"Dia menuju ke kawasan persendiriannya dengan staf dan pengawal yang ramai dan saya seperti tidak percaya kerana ia kali pertama saya bertemunya.

"Saya mencari jalan untuk berjumpa dengannya dan bernasib baik kerana saya mengenali pengurus pantai itu.

"Selepas berjumpanya, kami mula berbual dan saya memberitahunya betapa saya amat mengidolakannya dan dia sama seperti yang anda dapat bayangkan sebelum ini.

"Saya memberitahunya bahawa saya akan menghadapi kelayakan Piala Dunia bersama Malaysia dan dia mengucapkan selamat berjaya buat saya dan kami banyak berbual mengenai beberapa perkara.

"Dia seorang yang baik hati dan saya seperti tidak percaya saya sedang bersama Ronaldinho.

"Dia juga mengucapkan selamat berjaya buat Malaysia," tambahnya.