Roberto Mancini menerima sokongan daripada Marcello Lippi untuk bergelar pengurus baru skuad kebangsaan Itali.

Mancini, yang kini membimbing Zenit, akan memulakan perbincangan dengan skuad Azzurri selepas tamatnya kempen Liga Perdana Russia dan perkara itu disahkan oleh Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC).

Sebelum ini, FIGC telah menamakan Mancini dalam senarai pendek untuk memegang jawatan panas itu bersama beberapa nama lain seperti Antonio Conte, Luigi Di Biagio, Claudio Ranieri dan Carlo Ancelotti.

Sementara itu, Lippi, individu yang membawa Itali menjuarai Piala Dunia 2006, percaya bahawa Mancini merupakan calon tepat untuk mengemudi pasukan negaranya susulan kegagalan melayakkan diri ke Piala Dunia 2018.

“Mancini adalah jurulatih yang bagus dan mempunyai pengalaman antarabangsa yang luas,” kata Lippi kepada ANSA.

“Sebanyak tiga nama yang telah dicadangkan pasti akan diterima peminat, iaitu Ancelotti, Mancini dan Ranieri. Terdapat juga perbincangan dengan pengendali Atalanta, Gian Piero Gasperini.

“Jika jawatan itu disandang Mancini, dia sudah pasti menjadi pengurus yang memiliki pengalaman luas di pentas antarabangsa. Dia telah mengurus pasukan juara sebelum ini dan dilihat mempunyai keinginan tinggi untuk membimbing Itali. Itu adalah keperluan minimum,” katanya lagi.