Lionel Messi mengangkat pemain Atletico Madrid, Jan Oblak, sebagai "salah seorang penjaga gol terbaik di dunia" dan mengakui dia menyukai cabaran untuk menembusinya.

Oblak muncul penjaga gol termahal untuk bergabung dengan pasukan utama Sepanyol ketika dipancing Atleti daripada Benfica dengan harga €16 juta (RM79.2j) pada 2014.

Sejak itu dia tekal menjadi salah seorang bintang Los Rojiblancos dan telah memulakan kempen 2020-21 dengan prestasi yang sangat baik.

Pemain antarabangsa Slovenia itu mencatat sembilan kemenangan daripada 13 penampilan LaLiga untuk membantu Atleti menduduki tangga teratas LaLiga di hadapan seteru kota, Real Madrid, yang memiliki jumlah mata yang sama tetapi kurang beraksi dua perlawanan.

Dia paling sedikit dibolosi dalam liga iaitu dengan lima gol manakala hanya tiga penjaga gawang yang berjaya membuat lebih daripada 39 aksi menyelamat sepertinya.

Ketangkasannya mematahkan percubaaan lawan adalah 88.1 peratus, lebih selesa di hadapan Yassine Bounou yang berada di tempat kedua selepas pemain Sevilla itu menyelamatkan 80 peratus percubaan.



Oblak menafikan empat percubaan ketika Atleti mengatasi Barca 1-0, bulan lalu, yang menyaksikan Messi buntu dalam beberapa kesempatan.

"Seronok dapat bertemu di antara satu sama lain," kata bintang Argentina itu kepada Bud Football.

"Dia merupakan salah seorang penjaga gol terbaik di dunia ketika ini dan memang seronok untuk menghadapi lawan yang terbaik.

"Ini motivasi tambahan untuk mencetak gol, betapa sukar untuk menembusinya dan dia membuktikannya dalam setiap perlawanan.

"Jadi, bukan sahaja seronok melihatnya aksinya di tepi padang malah ketika menghadapinya dalam perlawanan. Ini membuatkan perlawanan menjadi lebih menarik."

Barca akan menentang Eibar Rabu depan sementara pasukan bimbingan Diego Simeone itu akan berhitung dengan Getafe, sehari kemudian.