Lionel Messi akan kembali memperkuatkan Paris Saint-Germain (PSG) selepas diuji negatif COVID-19.

Pasukan pendahulu Ligue 1 itu mengumumkan pada hujung minggu lalu bahawa pemenang tujuh kali Anugerah Ballon d'Or berkenaan diuji positif virus itu ketika pulang dari Argentina.

Susulan itu, Messi tidak terlibat ketika pasukannya membelasah Vannes 4-0 dalam perlawanan Coupe de France kelmarin, di mana Kylian Mbappe menjaringkan hatrik di Stade de la Rabine.

Namun, kelab itu mendedahkan bahawa pemain kebangsaan Argentina itu telah negatif virus berkenaan dan mungkin dapat disenaraikan dalam kunjungan ke laman Lyon hujung minggu ini.



Bagaimanapun, Mauricio Pochettino tidak dapat menurunkan Layvin Kurzawa, yang diuji positif dalam ujian saringan dan sedang ditempatkan dalam pengasingan.

Messi, dalam pada itu, masih bergelut untuk mendapatkan sentuhan terbaiknya dalam Ligue 1 sejak menyertai PSG daripada Barcelona pada Ogos lalu.

Walaupun dia terlibat dalam 10 jaringan (enam gol, empat bantuan) daripada 16 penampilan dalam kesemua kejohanan buat PSG, pemain berusia 34 tahun itu hanya menemui satu jaringan daripada 11 penampilan dalam liga utama Perancis berkenaan.