Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo tidak tercalon dalam senarai akhir untuk anugerah Liga Juara-Juara (UCL) 2020-21.

Malam tadi, UEFA mengumumkan 12 pemain, tiga calon bagi setiap posisi untuk memenangi anugerah individu itu pada 26 Ogos ini.

12 pemain itu masing-masing meraih mata terbanyak dalam setiap kategori berdasarkan pemilihan juri.

Barisan juri itu terdiri daripada pengurus daripada 32 kelab yang layak ke peringkat kumpulan musim lalu, selain 55 wartawan yang mewakili 55 anggota Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA). Pengurus pula tidak dibenarkan memilih pemain yang terdiri daripada pasukan sendiri.

Messi menduduki tempat keempat untuk penyerang terbaik sementara Ronaldo langsung gagal menyelit dalam senarai 10 terbaik.

Mereka berdua terkandas dalam pusingan 16 berikutan kekalahan Barcelona kepada Paris Saint-Germain (PSG) tatkala Juventus ditumbangkan Porto.

Lima daripada 12 calon itu terdiri daripada tonggak Chelsea yang memenangi kejuaraan tertinggi itu buat kali kedua setelah mengecewakan Manchester City dalam final.

Edouard Mendy, Cesar Azpilicueta, Antonio Rudiger, N'Golo Kante dan Jorginho semuanya dicalonkan.

City pula mempunyai tiga wakil iaitu Ederson, Ruben Dias dan Kevin De Bruyne manakala duo semifinalis, Real Madrid dan PSG masing-masing diwakili: Thibaut Courtois, dan Kylian Mbappe.

Penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski dan Erling Haaland, daripada Borussia Dortmund yang mengakhiri kempen lalu sebagai penjaring terbanyak dengan 10 gol melengkapkan pencalonan itu.

Pemenang bagi anugerah penjaga gol, pertahanan, pemain tengah dan penggempur terbaik itu akan diumumkan ketika undian peringkat kumpulan di Istanbul, dua minggu lagi.