Manchester United bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi West Ham 2-1 semalam apabila kepulangan Jesse Lingard menghantui The Hammers dalam pertembungan penuh dramatik di Stadium London .

Pemain kebangasaan England, menampilkan aksi cemerlang ketika dipinjamkan bersama Hammers musim lalu, melepaskan rembatan melencong masuk pada minit ke-89 selepas Cristiano Ronaldo terlebih dahulu menafikan jaringan pembukaan Said Benrahma.



West Ham berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada minit keempat masa kecederaan, tetapi David de Gea menyelamatkan penalti yang diambil Mark Noble.

Pelawat bermula positif namun peluang awal yang terbaik hadir menerusi Jarrod Bowen, percubaannya dihalang Raphael Varane selepas Harry Maguire gagal mengawal bola dalam kawasan penalti.

Memperoleh keyakinan daripada peluang yang dihasilkan, Hammers mula bermain dengan mencari peluang untuk membuka jaringan.

Lukasz Fabianski berjaya menepis percubaan Bruno Fernandes yang terkena tiang gol dan tiga minit kemudian, percubaan Benrahma daripada luar kotak penalti terkena Varane sebelum meleret masuk ke gawang.

United tidak menunggu lama selepas ketinggalan, meningkatkan rentak permainan dengan misi jaringan penyamaan, siapa lagi kalau bukan Ronaldo yang berjaya menyambar hantaran Fernandes.


Ronaldo melepaskan peluang terhidang untuk menjaringkan gol kedua seminit selepas perlawanan bersambung, Fabianski menghalang percubaan tersebut selepas Hammers memberikan bola kepada Fernandes.

Pemain gantian, Lingard, kemudian mempamerkan gerakan penuh magis, melepaskan percubaan sekaligus gagal dicapai Fabianski membuatkan penyokong tuan rumah terkesima.

Kemudian hadir drama di minit akhir perlawanan. Ronaldo dijatuhkan Kurt Zouma tetapi tiada penalti diberikan dan West Ham pula diberikan sepakan penalti selepas Luke Shaw dihukum kerana bola terkena tangan.

Noble dibawa masuk untuk menyempurnakan penalti namun De Gea berjaya meneka haluan rembatan sekaligus memastikan United membawa pulang tiga mata penuh.