Jesse Lingard menandatangani kontrak baru bersama Manchester United sehingga Jun 2021, dengan pilihan untuk melanjutkan perjanjian itu selama setahun lagi.

Pemain berusia 24 tahun itu telah bersama United sejak berusia tujuh tahun lagi dan pernah dipinjamkan ke Leicester City, Birmingham City, Brighton & Hove Albion dan Derby County sebelum mengukuhkan tempatnya dalam skuad utama di bawah Louis van Gaal, musim lalu.

Dia mengakhiri musim lalu dengan menjaringkan gol kemenangan ke atas Crystal Palace dalam perlawanan akhir Piala FA dan turut menemui sasaran ketika United menewaskan Southampton 3-2 untuk menjulang Piala Liga Inggeris (EFL), Februari lalu.

Secara keseluruhan, Lingard telah membuat 70 penampilan dalam semua pertandingan untuk United -- 29 daripadanya di bawah Jose Mourinho pada musim ini -- dengan menyumbangkan 11 gol.

Pemain sayap itu dikhabarkan akan menikmati gaji sebanyak GBP100,000 seminggu.

Lingard membuat penampilan pertama bersama England dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia pada Oktober lepas ketika berdepan Malta dan sejak itu sudah tampil empat kali untuk negaranya.

"Manchester United sentiasa menjadi sebahagian besar dalam hidup saya," katanya kepada laman web rasmi kelab itu. "Saya telah bersama kelab ini sejak berusia tujuh tahun dan saya berasa bangga setiap kali saya menyarung jersi ini.

"Untuk menjaringkan gol dalam dua perlawanan akhir buat kelab yang diminati sejak kecil lagi adalah detik-detik yang amat membanggakan bagi saya dan keluarga.

"Sebagai sebuah pasukan, kami telah memenangi trofi utama musim ini dan saya berharap dapat membantu kami untuk memenangi lebih banyak lagi kejuaraan di bawah jurulatih hebat.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih, khususnya kepada peminat di atas sokongan hebat yang mereka berikan kepada saya dan pasukan."

Mourinho berkata: "Jesse memiliki kecerdasan, apabila digabungkan dengan tenaga dan kemampuannya, ia menjadikan pemain itu memiliki masa depan yang cerah.

"Dia merupakan ahli popular di dalam skuad ini dan saya gembira dia menandatangani kontrak baru."

United menghuni tangga keenam EPL dan akan menghadapi Sunderland di tempat lawan pada Ahad ini sebelum berhitung dengan Anderlecht dalam perlawanan pertama suku akhir Liga Europa, pertengahan minggu depan.